Sabtu, 21 Jun 2008

Persekolahan satu sesi mampu dicapai

PUTRAJAYA 19 Jun - Pembinaan kompleks sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya diyakini mampu mencapai matlamat kerajaan dalam usaha mewujudkan persekolahan satu sesi di negara ini.

Timbalan Setiausaha Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Omar Taib berkata, konsep terbaru pembinaan kompleks sekolah juga turut mengambil kira ruang-ruang bagi menghidupkan suasana persekitaran yang sihat sekali gus pembelajaran terbaik.

''Pendekatan seperti ini amat praktikal dan bersesuaian bagi institusi pendidikan dan dilihat dapat menggalakkan suasana interaksi di antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan alam semulajadi.

''Suasana bangunan dan aktiviti pemikiran mempunyai kaitan yang kuat dari segi rangsangan mental dan membolehkan pelajar mentelaah pelajaran dan berfikir secara kreatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan upacara simbolik penyerahan Kompleks Sekolah Presint 11 (Fasa 2) yang merupakan kompleks sekolah ke-17 di Malaysia, di sini hari ini.

Seramai 1,400 pelajar sekolah rendah dan 1,750 pelajar sekolah menengah berpeluang mengikuti pelajaran di sekolah tersebut apabila ia beroperasi Januari tahun depan.

Pembinaan kompleks sekolah yang mengambil elemen air dan landskap sebagai dasar reka bentuknya itu dilengkapi dewan, surau, astaka, kantin serta ruang perhentian bas.

Dalam pada itu, Omar berkata, pembinaan sekolah-sekolah baru sekarang perlu menitikberatkan konsep sekolah dalam taman bagi mewujudkan suasana nyaman untuk memberi keselesaan pembelajaran kepada pelajar.

''Kita harap konsep sekolah sebegini dapat memberi semangat yang tinggi kepada warga pendidik untuk melahirkan generasi madani, cemerlang dan terbilang," katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 jun 2008



Tiada ulasan: