Isnin, 2 Jun 2008

Kesatuan minta kaji insentif pergerakan pangkat

BEBERAPA kesatuan yang mewakili 350,000 guru di seluruh negara mahu kerajaan mengkaji semula dan memberi perhatian terhadap semua usul atau cadangan berhubung isu kebajikan guru terutama membabitkan soal kenaikan pangkat serta insentif pergerakan gred perkhidmatan.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Kementerian Pelajaran, Jemali Paiman, berkata kementerian sewajarnya memberi keutamaan kepada aspek kekananan dalam perkhidmatan pendidikan dengan memberi peluang lebih banyak kepada kumpulan guru berpengalaman dinaikkan pangkat dalam tempoh lebih singkat.

Katanya, meskipun prestasi perkhidmatan menjadi salah satu syarat utama menilai kelayakan guru untuk dinaikkan pangkat, soal kekananan tidak boleh dipinggirkan kerana ia membabitkan kelompok guru yang sudah lama menyumbangkan jasa kepada sektor pendidikan negara.

Justeru, Jemali berkata, semua kesatuan guru di negara ini akan terus menuntut kepada kementerian dan kerajaan supaya memperhalusi dan menilai kembali semua tuntutan yang pernah diajukan dalam beberapa siri majlis permuafakatan antara kementerian dan kesatuan.

“Antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kenaikan pangkat atau gred kepada kumpulan guru yang berada dalam gred DG44 dan pernah berkhidmat dalam skim perkhidmatan bukan siswazah sebelum ini supaya pengalaman mereka sebelum memasuki skim siswazah turut diambil kira, sama seperti dinikmati guru daripada DGA29 ke DG41.

“Selain itu, kerajaan juga perlu melihat apa insentif yang boleh diberikan kepada guru yang menyambung pengajian ketika sudah memegang jawatan sebagai Guru Besar atau Guru Penolong Kanan, kerana kebiasaannya, apabila mereka memasuki skim siswazah, kekananan mereka selama ini hilang begitu saja.

“Tuntutan lain yang akan terus diperjuangkan ialah kumpulan guru yang menyambung pengajian dengan dibayar separuh gaji. Apa yang berlaku selama ini, mereka tidak mendapat kenaikan gaji tahunan dan terpaksa menderita dengan separuh gaji. Menyedihkan, apabila mereka menyudahkan pengajian, gred yang diperoleh sama dengan siswazah baru yang tiada pengalaman,” katanya.

Jemali berkata, sewajarnya ada insentif khusus kepada kumpulan berkenaan supaya pengorbanan mereka selama ini demi menyahut seruan kerajaan melihat lebih ramai guru siswazah dihargai dan mereka tidak merasa teraniaya.

Berhubung isu tuntutan guru bukan siswazah gred DGA32 hakiki (yang dilantik sebagai penolong kanan) yang mendakwa tidak mendapat perhatian sewajarnya lantaran mendapat gaji yang hampir sama dengan gred DGA32 time based, Jemali berkata, kesatuan sudah lama mendesak kementerian meminta kerajaan menambahkan gred khusus supaya kumpulan itu diberi pembelaan sewajarnya.

“Kesatuan sudah cadangkan supaya gred di sekolah rendah ditambah dengan menaikkan gred penolong kanan kepada DGA34, manakala Guru Besar yang selama ini dalam gred DGA34 diberi gred baru iaitu DGA36.

“Tangga gaji bagi guru DGA34 pula ditambah daripada tujuh peringkat seperti sekarang kepada 11 peringkat, sama seperti tangga gaji yang ada bagi gred DGA32. Ia penting untuk memastikan gaji dimiliki guru bergred DGA34 sentiasa lebih tinggi daripada DGA32,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMB), Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata beberapa siri dialog antara kesatuan dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah dibuat bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan guru.

Beliau berkata, kesatuan sudah meminta kementerian memanjangkan insentif kenaikan gred guru yang menyambung pengajian kepada kumpulan DG44 yang pernah berada dalam skim bukan siswazah sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, pula meminta guru tidak cepat melatah dan meluahkan perasaan melalui pelbagai saluran lain kerana suara mereka boleh disampaikan terus kepada kesatuan guru.

Katanya, tekanan diberikan guru kepada kementerian adalah sesuatu yang tidak adil lantaran sudah terlalu banyak pembaharuan dan kelebihan yang diberikan kementerian kepada warga guru selama ini.

“Guru perlu banyak bersabar. Sektor pendidikan bukan kecil dan ia memaksa kementerian menilai semua perkara secara terperinci,” katanya.

supaya adil kepada semua pihak. Apa yang perlu guru lakukan ialah salurkan cadangan terus kepada kesatuan dan biar kami ajukan kepada kementerian. Gunakan saluran yang ada.

“Hakikatnya, kesatuan bersetuju dengan rungutan ahli atau guru berkenaan isu kenaikan gred ini tetapi semua guru perlu memahami bahawa untuk merombak dan membawa perubahan kepada satu bahtera besar bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Beliau berkata, isu gred DGA32 hakiki yang kini berkhidmat sebagai penolong kanan sudah lama disuarakan kepada kementerian terutama apabila ia menjadi semakin serius dan ramai guru tidak berminat menjadi Guru Penolong Kanan atau Guru Besar lantaran tawaran gred yang tidak memuaskan sedangkan mereka terpaksa memikul beban tugas besar.

Namun, katanya, sekali lagi kesabaran guru diperlukan untuk membolehkan kementerian mengkaji isu itu secara mendalam.


Berita Harian Online: 2 Jun 2008

Tiada ulasan: