Khamis, 26 Jun 2008

Menghargai jasa guru

Sayangi guru bukan dengan menghulurkan hadiah tetapi menghormati dan memperoleh keputusan peperiksaan yang baik di sekolah.


GURU-GURU Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2 juga tidak ketinggalan menunjukkan bakat seni.


"Biar mereka membesar menjadi seorang insan yang baik, berdisiplin, menyumbang kepada pertumbuhan negara dan terus menimba ilmu," begitulah luahan seorang Guru Besar, Maimun Che Hamid dari Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2, Puchong, Selangor.

Keinginannya yang ikhlas disampaikan ketika berucap di hadapan lebih 1,400 kanak-kanak yang bernaung di bawah pentadbirannya sejak 2006 pada majlis sambutan Hari Guru, baru-baru ini.

Beliau yang berjasa sebagai seorang guru matematik selama 32 tahun, percaya bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya cukup besar dan pada masa yang sama, tetap mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan murid-murid yang dilihat sebagai anak sendiri.




"Sekarang ini, guru-guru menghadapi pelbagai cabaran dari segi tugasan dan tekanan dari luar terutamanya golongan ibu bapa. Saya sentiasa mengingatkan guru-guru supaya menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menjaga anak-anak ini seperti anak sendiri," ujarnya.

Walaupun jarang mempunyai masa untuk mengajar, beliau tetap meronda sekolah untuk memeriksa keadaan pintu pagar, bumbung sekolah, keadaan kantin, rumah penjaga, perpustakaan dan pelbagai jenis tugas lain setiap hari.

Katanya lagi, setiap guru tidak mengharapkan hadiah daripada murid-murid tetapi berasa bangga apabila mereka mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2007, seramai 27 orang murid darjah enam dari sekolah ini memperoleh markah A dalam semua mata pelajaran.

"Murid-murid kami juga menjadi wakil sekolah di peringkat negeri dalam perlawanan bola baling. Itu yang membuatkan kami gembira dan ia secara langsung meningkatkan lagi tahap pencapaian murid-murid dalam bidang kokurikulum selain akademik," jelasnya yang bagaimanapun mengucapkan ribuan terima kasih dengan hadiah dan penghargaan yang diberi oleh anak muridnya.

Pada majlis tersebut, murid-murid dari sesi sekolah pagi dan petang digabungkan untuk menyambut Hari Guru dengan pelbagai acara seperti nyanyian lagu Guru, persembahan daripada pelajar dan guru-guru seperti bermain kompang dan dikir barat.

Keseronokan ini diteruskan selepas waktu rehat di mana murid-murid boleh mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan menyaksikan video menarik.


MEMOTONG kek sempena meraikan Hari Guru.


Dalam pada itu, beberapa orang guru yang ditemui berkata mereka menggemari kerjaya murni ini kerana ia membenarkan diri untuk mendekati si kecil yang baru mula 'menguntum'.

"Saya suka mengajar muzik kepada kanak-kanak kerana mereka cepat belajar dan tidak takut berkreatif. Lagipun, kelas ini memberi ruang untuk melepaskan tekanan belajar," ujar guru muzik, Lee Sui Lyn yang mengajar selama 18 tahun.

Mogana Sundari Narayanasamy pula baru mengajar sejak tiga tahun lalu tetapi pengalaman yang ditimba bukan sahaja mendidik anak-anak murid tetapi memperkayakan dirinya untuk mempelbagaikan pendekatan dalam pengajaran subjek bahasa Inggeris.

Turut bersetuju ialah rakan sejawatnya, Suria Kala Chevalingam dan Mohamad Zahid Muhamad Zin, yang masing-masing mengajar selama 10 dan tiga tahun atas dasar minat.

Kosmo Online: 25 Jun 2008

Tiada ulasan: