Ahad, 22 Jun 2008

Majoriti tolak gaji dua kali

Oleh Zulkofli Jamaludin dan Abdul Razak Raaff

Kabinet belum capai keputusan dalam usaha ringankan beban penjawat awam

KUALA TERENGGANU: Kerajaan masih mengumpul maklum balas daripada kakitangan awam serta kesatuan sekerja mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan walaupun sebahagian besar mereka yang ditemui menolak cadangan itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata beliau tidak dapat menyatakan peratusan yang menerima atau menolak cadangan itu, tetapi majoriti yang ditemui, termasuk kesatuan sekerja tidak bersetuju gaji dibayar dua kali sebulan.

Katanya, mesyuarat Kabinet, Rabu lalu membincangkan cadangan itu tetapi belum membuat sebarang keputusan.

"Perkara ini (pembayaran gaji dua bulan) turut disentuh pada mesyuarat pemimpin parti komponen semalam (kelmarin) dan setakat ini kerajaan belum membuat keputusan muktamad.

"Kerajaan bercadang memberi gaji dua bulan bagi mengurangkan beban pekerja tetapi maklum balas diterima menyatakan langkah itu akan menyusahkan kakitangan awam menjelaskan pinjaman kepada bank," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan MIC Terengganu, di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mengumumkan cadangan kerajaan membayar gaji dua kali sebulan bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dengan lebih berkesan berikutan kenaikan harga minyak dan barang makanan.

Mengikut kaedah pembayaran yang dijadual bermula Ogos ini, separuh gaji pertama akan dibayar pada pertengahan bulan, manakala gaji kedua pada akhir bulan. Segala potongan, termasuk cukai pendapatan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibuat pada akhir bulan.

Pada majlis itu Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC menyampaikan sumbangan kepada 16 pelajar anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Di PUTRAJAYA, Cuepacs akan menyerahkan keputusan pendirian ahlinya mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan kakitangan awam serta menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kerajaan awal bulan depan.

Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya juga akan mengemukakan cadangan lain, iaitu elaun kerja waktu malam dan elaun perbatuan selepas diputuskan dalam mesyuarat majlis kongres Sabtu depan.

Bagaimanapun, katanya, kesatuan belum menghubungi pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menentukan tarikh untuk bertemu dan menyerahkan keputusan dibuat 120 kesatuan yang bergabung dalam kongres itu.

"Buat masa ini, kita sedang mengumpul semua maklumat daripada ahli kesatuan mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan, kenaikan elaun Cola, kerja malam dan tuntutan perbatuan.

"Kita ada mendengar ahli kesatuan bersetuju (bayaran gaji dua kali sebulan) tetapi ada ramai yang bantah dan ia bukan menggambarkan pendirian Cuepacs," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Omar berkata, mesyuarat majlis kongres di Ibu Pejabat Cuepacs, di Kuala Lumpur itu juga akan membincangkan mengenai kesan peningkatan harga barangan keperluan harian akibat kenaikan harga petrol dan diesel kepada penjawat awam.

Berita Harian Online: 21 Jun 2008

Tiada ulasan: