Isnin, 2 Jun 2008

Oman bantu guru kuasai bahasa Arab


Hishammuddin Tun Hussein menandatangani MoU mewakili kerajaan Malaysia dengan Yahya Saud Al-Sulaimi di Muscat, Oman, Sabtu lalu.


PUTRAJAYA 1 Jun - Malaysia dan Oman akan meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan antaranya bagi mendapatkan bantuan negara teluk itu memantapkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan guru di negara ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia akan membabitkan guru-guru yang terlibat dalam program pengajaran mata pelajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Beliau berkata, kementerian pula akan menawarkan pakej latihan kepimpinan dan pengurusan sekolah kepada pengetua dan pegawai pelajaran yang terpilih dari Oman bagi mengikuti sesi latihan komprehensif di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Katanya, perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai menggariskan bidang-bidang pendidikan yang boleh diwujudkan bersama bagi menjamin hubungan baik di antara Malaysia dan Oman.

''Sememangnya hubungan dua hala dalam bidang pendidikan di antara Malaysia dan Oman telah sedia terjalin.

''Bagaimanapun, hubungan tersebut perlu diperkukuhkan secara formal melalui MoU ini agar aktiviti dan program yang bakal dilaksanakan di antara kedua-dua negara akan lebih terarah dan sistematik," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Hishammuddin di Muscat semalam, manakala Oman diwakili oleh Menteri Pelajarannya, Yahya Saud Al-Sulaimi.

Hishammuddin melakukan lawatan kerja ke negara Teluk itu mulai Jumaat lalu hingga esok sebagai susulan kepada lawatan rasmi Yahya Saud ke Malaysia pada Jun tahun lalu.

Menurut beliau, pihaknya percaya lawatan kerja tersebut mampu memberi peluang kepada ahli delegasi bagi mendalami sistem pendidikan Oman yang sedang melalui proses reformasi pendidikan membabitkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

''Oman juga sedang mempergiatkan usaha pengantarabangsaan pendidikan dengan menjalankan pelbagai kajian dan lawatan penanda aras dengan penumpuan kepada kajian perbandingan pendidikan.

''Malaysia juga sedang meningkatkan usaha serupa dan dalam hal ini, kedua-dua negara akan turut berkongsi maklumat dan pengalaman yang diharapkan akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara," kata beliau.

Selain itu, Hishammuddin berkata, kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama bagi memasarkan kepakaran dan produk-produk pendidikan negara masing-masing.

Dalam hal ini, beliau berkata, Oman berminat mendapatkan khidmat pakar dari Malaysia dalam bidang perancangan dan penyelidikan dasar pendidikan; teknologi pendidikan; kepimpinan dan pengurusan sekolah; latihan dan pendidikan guru serta perancangan dan perkembangan kurikulum.

Katanya, Oman menunjukkan minat yang mendalam untuk menuruti langkah Malaysia dalam melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menurutnya, kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa faktor guru dan kepimpinan sekolah memainkan peranan yang besar dalam melaksanakan dasar tersebut.

Utusan Malaysia Online: 2 Jun 2008

Tiada ulasan: