Rabu, 3 Disember 2008

PPSMI diteruskan sesi tahun depan

Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan pada sesi persekolahan tahun depan, termasuk membabitkan murid Tahun Satu.

Selain itu, peperiksaan kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan turut dijadualkan masih dalam dua bahasa seperti pelaksanaan sedia ada.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata perubahan berhubung perkara itu tertakluk kepada pengumuman Menteri Pelajaran kelak.

“Buat masa ini, status quo semua pelaksanaan berkaitan dasar PPSMI kekal. Bekalan buku teks untuk kegunaan sesi persekolahan tahun depan juga sudah disediakan, malah sebilangan sekolah mengagihkannya kepada pelajar sebelum cuti akhir tahun.

“Justeru, ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai perkara ini kerana kementerian akan memaklumkan jika ada perubahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas persoalan dan kebimbangan sebilangan ibu bapa mengenai kedudukan pelaksanaan PPSMI pada sesi persekolahan tahun depan, antara lain bertujuan untuk memastikan persediaan anak mereka menghadapi peperiksaan UPSR 2009.

Calon UPSR tahun ini adalah kumpulan murid pertama memperoleh pendedahan pusingan lengkap pelaksanaan PPSMI dari Tahun Satu mulai 2003 sehingga Tahun Enam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai berkata keputusan UPSR 2008 membuktikan pelaksanaan PPSMI tidak menjejaskan prestasi murid.

Namun, beliau berkata, penentuan sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh, di samping mendapat kelulusan Kabinet.

Alimuddin berkata, persidangan meja bulat PPSMI yang terakhir akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 16 Disember ini.

Berita Harian Online: 2 Disember 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cukuplah. Demi kebangkitan semula bangsa, tidak dapat tidak PPSMI mesti dikembalikan semula dalam bahasa Melayu. Cukuplah dengan fahaman bahasa yang merapu kononnya hanya bahasa Inggeris boleh memajukan bangsa.