Jumaat, 7 November 2008

1,400 guru terlibat program First Steps

MELAKA 5 Nov. - Kira-kira 1,400 guru bahasa Inggeris dari 1,000 sekolah rendah di seluruh negara telah dikenal pasti oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing untuk mengikuti program pengajaran bahasa Inggeris First Steps.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, First Steps merupakan program pengajaran bahasa Inggeris merangkumi tiga kemahiran iaitu membaca, menulis, mendengar serta bertutur yang dijangka mula diguna pakai di semua sekolah rendah menjelang tahun depan.

Beliau berkata, ia merupakan satu strategi pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris di kalangan murid sekali gus sebagai kaedah alternatif terhadap sistem pembelajaran sedia ada.

"Ia juga bertujuan memupuk minat membaca buku bahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah rendah.

"Program ini telah banyak diguna pakai oleh negara-negara maju seperti Australia, Kanada dan New Zealand serta sudah terbukti berkesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perlaksanaan First Steps di sini, hari ini.

Razali menjelaskan, program tersebut bukan berbentuk kokurikulum atau modul tetapi lebih merupakan teknik pengajaran baru yang digunakan oleh para guru dan pensyarah bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Katanya, kesemua guru bahasa Inggeris yang terlibat mengikuti program tersebut akan dilatih oleh kira-kira 100 orang fasilitator yang dibawa khas oleh kementerian dari Universiti Edith Cowan, Australia.

Sebelum ini, katanya, kira-kira 100 pensyarah bahasa Inggeris dari institusi perguruan di seluruh negara turut terlibat mengikuti program berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 6 November 2008

Tiada ulasan: