Oleh Khairina Yasin
USAHA melahirkan guru berkepakaran terus menjadi fokus Kementerian Pelajaran bagi memantap dan mempertingkat proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di setiap sekolah menerusi program pembangunan yang dilaksanakan dengan pelbagai pihak.
Terkini, guru sekolah menengah teknik (SMT) dan vokasional menjadi tumpuan selaras usaha memperkasakan institusi itu menerusi jaringan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran luar negara.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun, berkata program dikenali Compentency Based Education and Training (CBET) antara usaha terbaru akan dilaksanakan bagi memantapkan kepakaran dan pengetahuan guru sekolah terbabit.
Setakat ini, katanya, beberapa guru terpilih sudah mengikuti kursus atau latihan di bawah program CBET dengan kendalian pakar pendidikan Australia sehingga layak menerima Diploma in Training dan Assessment.
“Lulusan program itu kelak akan dijadikan jurulatih utama atau Master Trainers yang berperanan sebagai pembimbing kepada guru vokasional lain dalam mengaplikasikan proses P&P berasaskan kompetensi di SMT.
“Usaha ini adalah antara langkah penambahbaikan proses P& P di SMT khususnya aliran teknik dan vokasional yang memfokus kepada penguasaan kompetensi pelajar,” katanya kepada Berita Harian, di Putrajaya.
Yusoff berkata, cadangan pelaksanaan program CBET adalah hasil lawatan Kementerian Pelajaran ke beberapa sekolah di Australia bagi menilai dan mengenal pasti kaedah yang boleh dipelajari serta dilaksanakan di negara ini.
Pada masa sama, katanya, latihan dan pengukuhan kepakaran guru dalam menggubal, menyemak serta menambah baik kurikulum aliran vokasional di SMT turut dilaksanakan.
“Ini adalah bukti kesungguhan kita meningkatkan kualiti dan kemahiran tenaga pengajar di SMT dalam semua aliran.
“Malah, langkah itu juga membolehkan tenaga pengajar di sekolah berkenaan memberi tunjuk ajar yang berkualiti dan bersesuaian dengan pasaran kerja kepada pelajar mereka khususnya dalam aliran kemahiran,” katanya.
Katanya, langkah mewujudkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak memberi peluang kepada SMT berkongsi pandangan, pendapat dan teknik pembelajaran yang mengutamakan kemahiran.
“Selain itu, proses P&P yang diinovasikan dengan konsep kompetensi dan elemen keusahawanan juga akan dimantapkan.
“Ia selari dengan strategi dan pelan tindakan yang digariskan Pelan Tindakan Pendidikan Teknik dan Vokasional bagi memastikan kecemerlangan berterusan pendidikan teknik dan vokasional dicapai, sekali gus menyokong objektif Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran,” katanya.
Berita Harian Online: 27 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan