KEMENTERIAN Pelajaran menerusi Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) berperanan menilai kepakaran dan kebolehan calon guru cemerlang bagi memastikan ia mampu memberi impak yang signifikan terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Ketua JNJK, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata peranan itu dipertanggungjawabkan kepada JNJK khususnya memantau perkembangan calon guru cemerlang gred DG52 hingga gred Khas C bagi memenuhi tuntutan pertambahan guru cemerlang, bukan saja dari segi kualiti malah kenaikan gred perjawatan.
Katanya, usaha itu penting bagi memenuhi hasrat kementerian untuk menonjolkan kecemerlangan sistem pendidikan negara di mata dunia.
“Bagi melicinkan proses pemantauan, JNJK memerlukan lebih ramai nazir sekolah yang menjawat jawatan pada gred setara dengan calon guru cemerlang yang dipantau bertujuan mempercepatkan pengisian jawatan guru cemerlang sekali gus membantu memartabatkan profesion keguruan.
“Jika kita menyusuri sejarah kewujudan guru cemerlang, peranan dan usaha JNJK tidak dapat dinafikan. Kesungguhan dan keprihatinan JNJK mewujudkan jawatan guru cemerlang sejak dulu lagi mendapat respon baik daripada pihak kementerian,” katanya pada Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan selama tiga hari itu disertai hampir 250 guru cemerlang seluruh negara dengan majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom dan Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datin Asariah Mior Shaharuddin.
Bertemakan Inovasi Pendidikan Teras Kecemerlangan Berterusan, persidangan turut menyebarluaskan hasil kerja guru cemerlang dalam membantu meningkatkan prestasi pembelajaran murid dan menambah baik pengajaran guru di sekolah menerusi pembentangan 30 kertas kerja.
Mengulas lanjut, Abd Ghafar berkata, pengisian persidangan diharap mampu memberi ruang kepada guru cemerlang berkongsi pengalaman, pengetahuan dan inovasi.
Secara tidak langsung, katanya, ia turut meningkatkan ilmu dan kemahiran guru cemerlang sama ada berkaitan aspek pedagogi mahupun ilmu kemahiran penulisan ilmiah dalam P&P.
“Melalui usaha sebegini, tahap kecemerlangan ilmu pengetahuan, sahsiah dan imej guru cemerlang dapat dikekalkan sejajar dengan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan dan teknologi masa kini,” katanya.
Berita Harian Online: 5 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan