Sabtu, 15 November 2008

Keputusan PPSMI bergantung laporan Kementerian Pelajaran

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada kerajaan mahu meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibuat berdasarkan laporan lengkap daripada Kementerian Pelajaran, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini kementerian berkenaan masih membuat kajian terperinci berhubung perkara itu dan keputusan muktamad mengenainya akan hanya dibuat selepas semua proses penilaian selesai.

"Kita sedang buat kajian dan penilaian menerusi Kementerian Pelajaran. Saya tidak mahu buat ulasan dan akan hanya mengeluarkan kenyataan bila mendapat rumusan kementerian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 'Setiap Anak Permata Negara' di sini, semalam.

Turut hadir, isteri beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan bercadang meneruskan pelaksanaan PPSMI berikutan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 menggunakan kaedah itu ternyata memberangsangkan.

Keputusan UPSR semalam, menyaksikan seramai 46,641 murid atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, lebih baik berbanding 7.8 peratus yang mendapat keputusan itu lima tahun sebelumnya.

Peningkatan juga jelas berlaku apabila seramai 159,234 calon menjawab sepenuhnya soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berbanding 1,324 calon tahun lalu.

Mengulas mengenai program Permata Negara, Najib yang juga Pengerusi Majlis Penyelaras Dasar Permata Negara, berkata ia akan diperluaskan ke seluruh negara, membabitkan beberapa kementerian serta agensi mulai tahun depan.

Beliau berkata, antara taska terbabit termasuk Taska Permata, Kemas, Perpaduan, Angkatan Tentera Malaysia dan Felda menerusi peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak peringkat umur satu hingga enam tahun.

Mengulas isu lain, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi Wanita Umno untuk membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan pelan peralihan pada Jun 2009 atau mempercepatkan proses peralihan itu pada Mac tahun depan.

Katanya, beliau tidak mahu mencampuri sebarang keputusan yang membabitkan Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Saya serahkan kepada Wanita Umno untuk selesaikan, saya tidak mahu terbabit antara kedua-duanya," katanya.

Berita Harian Online: 14 November 2008

Tiada ulasan: