Oleh Suliati Asri
KETIKA Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada 2003, matlamatnya untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (BI) sejajar memenuhi permintaan global yang kian mencabar.
Meskipun wujud polemik pada awal pengenalannya, semua pihak mengalu-alukan langkah itu.
Bagaimanapun, selepas enam tahun pelaksanaannya, ada suara yang mempertikaikan kewujudan PPSMI.
Lebih menimbulkan konflik, apabila PPSMI dianggap satu pembaziran kerana keputusan kebanyakan pelajar terutama di luar bandar kurang memberangsangkan.
Natijahnya, ada pihak tertentu menyarankan PPSMI ditukar kepada sistem pembelajaran sebelum ini dalam bahasa Melayu.
Persoalannya, adakah objektif PPSMI gagal? Adakah benar ia satu pembaziran dan wajar diberhentikan? Bagaimana pula dengan pelajar yang berjaya?
Walaupun keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Khamis lalu menunjukkan peningkatan pelajar menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, namun ada penurunan pelajar yang mendapat 5A dalam semua subjek.
Kebanyakan mereka hanya mendapat 4A dan B atau C dalam subjek Matematik dan Sains.
Jadi, rasionalkah keputusan UPSR ini dijadikan kayu pengukur untuk menilai reputasi PPSMI?
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata tidak perlu menunggu keputusan UPSR untuk meneruskan PPSMI, sebaliknya pelaksanaannya perlu merujuk kepada objektif utama ia diperkenalkan pada 2003.
Menurutnya, bukan isu utama untuk memperkatakan mengenai sama ada PPSMI berjaya atau tidak, tetapi perlu mencari jalan terbaik menyelesaikan kemelut yang berlaku apabila ia diperkenalkan.
“Dalam isu ini, semua aspek perlu dipertimbangkan sebelum mengambil keputusan terbaik. Sepanjang enam tahun ia dilaksanakan, ada pelajar yang boleh mengikutinya dan ada yang gagal.
“Pemantauan serius perlu dititikberatkan kepada mereka yang lemah terutama di luar bandar. Pelajar cemerlang dalam PPSMI juga perlu diberi perhatian,” katanya.
PPSMI diperkenalkan atas kesedaran membantu meningkatkan kualiti tahap pendidikan pelajar dalam menguasai BI sebagai medium penjanaan globalisasi.
Malangnya, pengenalan ini menimbulkan reaksi pro dan kontra daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang menyatakan langkah itu tepat kerana dapat membantu pelajar lemah memperbaiki mutu pencapaian BI manakala sebahagiannya membantah kerana bimbang pencapaian mereka lebih merosot.
Mengulas sama ada kejayaan PPSMI ini mampu dikecapi sebahagian besar pelajar, Syed Anuar berkata, dalam konteks ini, bukan hanya melihat kepentingannya pada kelompok pelajar tertentu tapi keseluruhan.
Menurutnya, tidak dapat dinafikan kebanyakan pelajar luar bandar ketinggalan dalam pelaksanaan PPSMI ini, namun mereka tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya.
“Bukankah lebih baik jika mereka diberi pendedahan lebih luas seperti meningkatkan kesedaran melalui pembacaan. Ia membantu menarik minat mereka mengenai kepentingan BI.
“Tetapi, jangan korbankan masa depan pelajar cemerlang dengan kurang mengendahkan mereka kerana sudah yakin terhadap pencapaian sedia ada. Setiap pelajar adalah aset bagi semua, tidak perlu ada diskriminasi,” katanya.
Bagi mengatasi kemelut ini, GPMS menyarankan melaksanakan pendekatan sistem dua aliran supaya masalah sedia ada tidak berlarutan.
Melalui sistem ini, pelajar cemerlang boleh mengikuti PPSMI dalam BI manakala kurang cemerlang mengikutinya dalam bahasa Melayu.
Syed Anuar berkata, jika PPSMI diberhentikan, ia akan menyebabkan pembaziran kerana kerajaan membelanjakan peruntukkan besar bagi melaksanakannya.
“Sudah banyak wang dibelanjakan, jadi kita tidak dapat menolak hakikat itu.
“Bagi saya, teruskan PPSMI tapi biarlah ada pemantauan secara menyeluruh agar objektif yang disasarkan dapat dicapai dan tidak membebankan pelajar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Wilayah Persekutuan (PIBGWP), Datuk Suhaimi Yaacob, berkata pengenalan PPMSI perlu dilihat dan dinilai secara menyeluruh.
Menurutnya, subjek BI sedia ada sudah memadai bagi membantu pelajar menguasai BI dan tidak perlu diperkenalkan dalam Sains dan Matematik.
“Jika objektif utama untuk memperkasakan penggunaan BI kepada pelajar, rasanya tidak perlu membuat uji kaji dalam Sains dan Matematik.
“Lebih baik mewujudkan keseimbangan dalam penggunaan semua bahasa. Ini satu aset dalam membina kejayaan generasi masa depan.
“Kita mahu generasi masa depan mampu menguasai pelbagai bahasa dengan baik, justeru tidak perlu memberi penekanan atau fokus pada BI keterlaluan hingga menyebabkan kepincangan dalam aspek lain,” katanya.
myMetro: 17 November 2008
Selasa, 18 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Orang-orang Inggeris pernah dijajah oleh kuasa asing. Pada ketika itu mereka menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu. Orang-orang Inggeris meninggalkan bahasa Latin kerana ia bahasa penjajah dan ia tidak dapat membantu memperkasakan orang-orang Inggeris. Orang-orang Inggeris mula maju selepas mereka menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Di Malaysia agak pelik sedikit kerana ramai yang suka mengambil langkah mengundur ke belakang. Orang Melayu meninggalkan bahasa Melayu dalam mengajar sains dan matematik supaya kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris. Ada yang mengeluarkan hujah dangkal di mana PPSMI perlu kerana banyak sumber ilmu dalam bahasa Inggeris. Ini termasuklah buku-buku, jurnal-jurnal dan sebagainya. Idea sebegini amat ganjil kerana ia tidak menyentuh langsung tentang menterjemah buku-buku, artikel-artikel jurnal dan bahan-bahan lain yang berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Ada orang Melayu yang mempunyai kelebihan mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping sains dan matematik. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja menterjemah. Dimanakah pula galakan kepada cerdik pandai Melayu untuk menulis lebih banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu?
Catat Ulasan