Ahad, 9 November 2008

NUTP Tidak Akan Menjamin Guru Ditangkap Dera Kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak akan menjamin mana-mana guru yang ditangkap kerana mendera kanak-kanak, kata Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng hari ini.

Lok memberitahu Bernama bahawa pendirian kesatuan itu adalah sangat jelas dalam perkara itu dan guru-guru yang menghadapi pertuduhan itu perlu menghadapi akibatnya.

Beliau berkata kesatuan telah menasihati semua anggotanya supaya mematuhi kod etika yang mengandungi peruntukan bagi hormat kepada guru dan pelajar.

Sewaktu sambutan Hari Guru tahun lepas, guru-guru mengangkat sumpah untuk mendukung kod etika itu.

Kesatuan itu berharap guru-guru akan berpegang kepada sumpah itu demi kebaikan mereka bersama, profesion itu dan para pelajar di bawah jagaan mereka.

Lok berkata walaupun kes-kes penderaan kanak-kanak di sekolah tidak banyak dan bukanlah satu masalah yang besar, tetapi kesatuan itu mahu anggotanya sentiasa berwaspada dengan masalah itu.

-- BERNAMA

Bernama.com: 8 November 2008

Tiada ulasan: