Ahad, 9 November 2008

Hasil persidangan PPSMI dibentang ke Kabinet

PUTRAJAYA 7 Nov. - Rumusan daripada empat persidangan meja bulat membabitkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibentangkan kepada anggota persidangan itu sebelum dibawa ke Kabinet.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana anggota persidangan perlu memutuskan pelaksanaannya terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

"Saya terfikir untuk bawa perkara ini ke Kabinet, tetapi sama ada (pelaksanaannya) berjalan lancar atau tidak bergantung kepada banyak pihak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal diumumkan Khamis ini bukan pengukur utama dalam membuat keputusan mengenai dasar PPSMI.

"Banyak lagi faktor lain yang perlu dititikberatkan, pengumuman mengenainya tidak boleh dibuat dalam tempoh terdekat iaitu selepas UPSR diumumkan," katanya.

Persidangan pertama bagi membincangkan hala tuju pelaksanaan PPSMI melibatkan penyertaan pegawai kanan Kementerian Pelajaran, institusi pengajian tinggi awam dan kesatuan guru.

Sementara persidangan kedua membabitkan badan profesional, korporat, individu dan guru.

Persidangan ketiga pula melibatkan penyertaan wakil murid dan guru dari semua jenis sekolah bandar dan luar bandar.

Manakala yang terakhir pada bulan lepas turut melibatkan penyertaan daripada Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Utusan Malaysia: 8 November 2008

Tiada ulasan: