Oleh Rosniza Mohd Taha
Lapan strategi dilaksana bagi tingkat peranan Pusat Kegiatan Guru sebagai rujukan, sumber pendidikan
BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran menggariskan lapan strategi memperkasa Pusat Kegiatan Guru (PKG) bagi meningkatkan fungsinya sebagai pusat rujukan dan pembangunan sumber pendidikan serta memenuhi tuntutan semasa pendidikan bestari.
Strategi itu adalah memperkasa fungsi, mengukuhkan struktur dan modal insan, menaik taraf bangunan dan pusat sumber, memantapkan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengkhususan kepakaran, perjawatan, pusat kegiatan sosial/ komuniti serta ejen perubahan dan penyelesaian masalah.
Katanya, jumlah itu membabitkan penempatan seorang juruteknik komputer serta tambahan lima pegawai di semua 368 PKG berbanding hanya tiga pegawai berkelulusan diploma (DG32) ketika ini.
“Langkah itu sejajar strategi pengstrukturan perjawatan bagi memastikan PKG dapat memberikan khidmat lebih cekap dan berkesan dalam membantu guru serta meningkatkan kegiatan pemantauan ke sekolah.
“Sekolah di seluruh negara kini melalui perubahan dasar termasuk penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) apabila institusi ini dibekalkan prasarana seperti makmal komputer dan pusat akses.
“Sudah sampai masanya PKG melalui transformasi sejajar keperluan semasa dengan melakukan perubahan terutama dari segi struktur, fungsi dan peranan supaya ia terus dianggap sebagai ‘pasar raya’ guru yang sentiasa sibuk dengan pelanggan walaupun ada yang datang dengan tujuan paling minimum,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai strategi lain, Mohd Adenan berkata, memperkasa fungsi membabitkan program pemangkin kecemerlangan guru dengan objektif meningkatkan kemahiran guru dalam teknologi pendidikan dan ICT.
Memperkukuh struktur dan modal insan pula katanya, akan dilaksanakan menerusi penambahan 132 PKG menjadikan jumlah keseluruhannya 500 supaya nisbah institusi pendidikan itu dengan keahlian sekolah seimbang iaitu satu PKG mempunyai 25 sekolah ahli saja.
“Di bawah strategi sama, kemahiran dan profesionalisme pegawai akan ditingkatkan termasuk memupuk kemahiran menyelesaikan masalah supaya mereka dapat membimbing guru menguasai ilmu dan kemahiran terkini serta inovasi pendidikan,” katanya.
Menyediakan ruang kerja sesuai dan penambahan bilik antara langkah akan diambil di bawah strategi menaik taraf bangunan dan pusat sumber untuk meningkatkan motivasi pegawai, sekali gus mendorong mereka memberikan perkhidmatan berkualiti.
Kadar kelajuan capaian internet pula akan diusahakan menerusi penyambungan talian Schoolnet dan Streamyx, talian terus ke PKG, menambah kapasiti jalur lebar kepada 4 mbps serta mewujudkan zon WiFi di persekitaran PKG menerusi strategi memantapkan inisiatif ICT.
Sementara itu, setiap PKG akan digalakkan membangunkan pengkhususan kepakaran masing-masing bagi mewujudkan identiti tersendiri serta meningkatkan kualiti dan kuantiti bahan P&P berasaskan ICT.
Kerjasama dengan agensi luar serta masyarakat pula akan digalakkan di bawah strategi pusat kegiatan sosial/ komuniti bagi meningkatkan jumlah guru dan masyarakat yang datang ke PKG untuk tujuan perkongsian idea.
Program peningkatan kefahaman fungsi dan peranan PKG pula akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi menghasilkan bahan P& P yang memenuhi keperluan guru untuk mengatasi masalah kekurangan koleksi bahan serta pengurusan kurang sistematik menerusi strategi ejen perubahan dan penyelesaian masalah.
INFO: Lapan strategi memperkasa PKG
1) Memperkasa fungsi
2) Mengukuhkan struktur dan modal insan
3) Menaik taraf bangunan dan pusat sumber
4) Memantapkan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
5) Pengkhususan kepakaran
6) Perjawatan
7) Pusat kegiatan sosial/ komuniti
8) Ejen perubahan dan penyelesaian masalah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan