Selasa, 18 November 2008

Fokus: Kesan PPSMI

Oleh Khairina Yasin, Rosniza Mohd Taha dan Basir Zaharom

Peningkatan calon jawab soalan Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris bukan ukuran kejayaan pelaksanaan dasar

PENINGKATAN bilangan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak boleh dijadikan ukuran bagi menggambarkan pencapaian sebenar pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sebaliknya, ramai pihak berpendapat banyak faktor yang perlu diambil kira dan dikaji bagi menentukan pelaksanaan dasar itu perlu diteruskan atau sebaliknya.

Antaranya tahap penguasaan pelajar khususnya di luar bandar yang jelas masih dibelenggu pelbagai kekurangan dan persekitaran sukar bagi menyokong penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Jurang pencapaian semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar perlu diteliti, selain menilai keupayaan guru melaksanakan dasar itu.

Profesor Diraja Ungku Aziz, berpendapat pergantungan terhadap statistik seperti jumlah calon mendapat 5A atau menjawab soalan dalam bahasa Inggeris dalam menetapkan pelaksanaan dasar pendidikan tidak wajar kerana ia tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan pelajar.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pendekatan baru kaedah pengajaran dan pembelajaran dirangka bagi membolehkan pelajar menguasai dan menggunakan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris secara serentak.

"Memastikan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar tidak harus diambil ringan kerana ia satu-satunya instrumen perpaduan paling berkesan diterapkan dalam sistem pendidikan, sekali gus dapat memastikan kelestarian pembangunan negara pada masa depan.

"Pada masa sama, pelajar perlu digalakkan menguasai bahasa Inggeris supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan globalisasi.

"Utamakan penguasaan pelajar dalam kedua-dua bahasa itu dulu, baru ia boleh dijadikan instrumen dalam PPSMI, sekali gus menggalakkan mereka meluaskan pembacaan dalam pelbagai bahasa untuk menambah ilmu, bukan sekadar lulus peperiksaan saja," katanya.

Tokoh Akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, pula menegaskan kajian terperinci perlu dilaksanakan pihak terbabit dengan membuat perbandingan menyeluruh pencapaian UPSR pelajar di bandar dan luar bandar dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Yang jelas, katanya, peningkatan prestasi pelajar bandar dalam UPSR khususnya mata pelajaran Sains dan Matematik sememangnya diakui kerana mereka lebih berupaya memanfaatkan pelbagai kemudahan serta maklumat dalam bahasa Inggeris sama ada melalui buku, internet atau media lain.

"Namun, kejayaan segelintir pelajar di bandar atau daripada kumpulan elit tidak wajar dijadikan alasan untuk meneruskan dasar yang sebenarnya lebih banyak mendatangkan keburukan bagi majoriti pelajar lain khususnya di luar bandar.

"Jika dasar ini diteruskan, ia dilihat sebagai penyumbang ke arah keburukan bagi pengembangan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi di negara ini.

"Malah, dasar itu secara terang-terangan menidakkan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi dalam keadaan negara kini menuju ke arah negara maju.

"Kesannya, kita akan lihat bahasa Melayu akan terus ketinggalan dan akhirnya menyebabkan kematian bahasa kebangsaan itu sendiri," katanya.

Seorang lagi tokoh akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata walaupun mencatat peningkatan memberangsangkan, peratusan pelajar yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris masih rendah dan kemungkinan kebanyakan pelajar terbabit dari kawasan bandar serta sudah biasa menggunakan bahasa antarabangsa itu dalam kehidupan harian.

Justeru, katanya, punca lebih 60 peratus pelajar yang masih tidak menggunakan bahasa itu untuk menjawab soalan peperiksaan perlu dikaji, sekali gus mengenal pasti permasalahan dalam pelaksanaan dasar berkenaan.

"Kajian saya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati sejumlah 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris, selain sebahagian besar murid atau 83 peratus meluahkan perasaan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa antarabangsa itu, walaupun mereka mempelajari subjek berkenaan sejak 2003," katanya.

Berita Harian Online: 17 November 2008

Tiada ulasan: