Khamis, 27 November 2008

Kejayaan Matematik, Sains UPSR bukti kegigihan murid dan guru

KEMENTERIAN Pelajaran memperincikan pada tahun ini calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjawab mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah meningkat lebih 200 peratus bagi mata pelajaran Matematik dan 100 peratus bagi Sains berbanding tahun lalu.

Ini adalah suatu lonjakan yang perlu dibanggakan. Sekadar membuat perbandingan secara statistik, pada 2007 bagi mata pelajaran Sains hanya 1,324 pelajar sanggup menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi pada tahun ini, ia melonjak kepada 159,234 orang (31.1 peratus. Begitu juga dengan mata pelajaran Matematik, pada 2007 hanya 1,075 calon meningkat kepada 238,153 (46.6 peratus) tahun ini.

Dalam konteks ini, bukan persoalan nilai peratusan yang harus menjadi perhatian tetapi erti tersirat yang dapat kita fahami daripadanya. Peningkatan calon yang menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris menunjukkan bahawa murid sekolah rendah di negara ini sememangnya gigih dan memiliki daya keyakinan tinggi.

Ternyata mereka tidak takut berdepan dengan bahasa yang dianggap sukar oleh sesetengah pelajar. Seharusnya kita perlu berasa malu kepada anak kecil ini yang begitu tekun mempelajari mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris. Satu pujian yang harus kita banggakan terhadap anak yang bakal menunjangi negara pada era akan datang.

Begitu juga dengan warga guru, ternyata bahawa hanya segelintir guru saja yang bermasalah ketika mengendalikan pengajaran dalam bahasa Inggeris tetapi majoritinya ternyata berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggakan paradigma pelajar mampu berubah daripada takut untuk menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris pada tahun sebelumnya kepada mahu dan yakin menjawabnya.

Syabas cikgu. Semua kejayaan ini tidak akan dapat dikecapi seandainya institusi pendidikan seperti sekolah tidak positif terhadap dasar ini. Hari ini terbukti bahawa warga guru bukanlah golongan tegar menentang dasar yang dirasakan baik untuk anak bangsa.

Apa yang lebih penting lagi dalam apabila melihat kemampuan pelajar kita cuba untuk menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris ini ialah betapa perlunya nilai positif seperti keyakinan, positif, survival terus disemai dan dipupuk kerana sudah pastilah nanti negara kita akan berjaya melahirkan modal insan yang berkelas pertama demi untuk menjayakan Wawasan 2020 nanti.

Inilah yang dikatakan oleh sarjana Islam bahawa jika mahu melihat negara pada masa akan datang, maka lihatlah generasinya hari ini. Keyakinan terhadap generasi kecil ini yang berada di era perubahan sikap dan diri ke arah yang lebih cemerlang perlu dilihat sebagai telah membuka satu lembaran harapan yang cukup bermakna kepada Malaysia.

Walaupun begitu, dari satu segi yang lain ini tidak bermakna berlaku pengabaian terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Statistik pencapaian Bahasa Melayu membuktikan segala-galanya. Dari segi gred cemerlang A dalam mata pelajaran itu didapati bahawa dalam aspek penulisan telah dan pemahaman berlaku peningkatan masing-masing 1.9 peratus dan 4.1 peratus bagi Sekolah Kebangsaan.

Malah, di sekolah Jenis Kebangsaan Bahasa Melayu pemahaman mencapai kenaikan 4.1 peratus. Ini secara jelas menunjukkan bahawa pencapaian bahawa Melayu tetap meningkat dan membanggakan. Ini juga membuktikan bahawa Kementerian Pelajaran bukannya menginggeriskan semua mata pelajaran sebagaimana anggapan sesetengah pihak yang melihat bahawa sistem pendidikan kita beralih kepada sistem menggunakan bahasa Inggeris.

Dalam konteks ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik harus dikurangkan. Kita perlu berlapang dada dan bersama-sama memantapkan dasar demi kebaikan bersama untuk masa depan anak.

Kementerian Pelajaran seharusnya membuat inisiatif dengan mengadakan persidangan meja bulat PPSMI harus disambut baik dan dengan niat yang betul untuk membantu secara profesional dan ilmiah. Ini adalah platform terbaik untuk berbincang sebagaimana kata Menteri Pelajaran kerana akhirnya segala cadangan daripada platform ini akan dijadikan sandaran untuk membuat keputusan terhadap kelangsungan dasar itu.

Apa yang pasti kita semua adalah pembela bahasa Kebangsaan tetapi pembelaan kita seharusnya dengan memperbanyakkan langkah yang lebih proaktif terhadap bahasa itu sendiri dan bukannya dengan cara memperlekehkan bahasa lain. Situasi menang-menang perlu wujud agar kelak impak yang diperoleh adalah dari kedua-dua segi bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Kita perlu lebih kuat dalam menggerakkan kesedaran dan kecintaan melalui pelbagai cara dan merentasi semua sektor kerajaan dan swasta. Data UPSR kali ternyata ini telah membuktikan segala-galanya. Anak-anak kecil kita telah membuktikan siapa mereka dan tugas kita pula ialah untuk melihat ke hadapan, bukan setahun dua tetapi sepuluh tahun akan datang.

AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD,
Pensyarah Kanan Institut
Latihan Kepimpinan dan
Pengurusan Pendidikan.

Berita Harian Online: 27 November 2008

Tiada ulasan: