Rabu, 26 November 2008

Buku panduan tingkat mutu kerja diterbitkan

Oleh Amad Bahri Mardi


SUFA'AT (empat dari kiri) bersama pemimpin pelapis pendidikan Johor ketika melancarkan buku Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja di Johor Bahru, baru-baru ini.

JABATAN Pelajaran Johor (JPJ) dengan kerjasama Majlis Perhubungan Pemimpin Pelapis Pendidikan (M4P) Johor, berjaya menerbitkan buku Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja sebagai panduan mengurus tadbir khususnya kurikulum di sekolah menengah di negeri itu.

Set buku MPK dan Fail Meja berkaitan tugas Penolong Kanan Pentadbiran, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum, selain Penolong Kanan Petang serta Guru Kanan Mata Pelajaran diedarkan ke semua sekolah menengah di negeri berkenaan.

Pengarah JPJ, Sufa’at Tumin, berkata buku itu diharap dapat digunapakai pegawai terbabit dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja mereka.

Katanya, penerbitan buku itu selaras hasrat pengurusan JPJ yang menekankan amalan kepimpinan instruksional.

“Fail Meja penting untuk dijadikan panduan, petunjuk dan pedoman dalam melaksanakan tugas harian guru terbabit, khususnya dalam usaha membantu pengetua mentadbir sekolah.

“Pemimpin tidak boleh menjalankan sesuatu tugas berasaskan kelaziman, andaian, agakan atau telahan semata. Sebaliknya sesuatu tindakan diambil hendaklah berasaskan garis panduan ditetapkan. Oleh itu, saya yakin buku yang dihasilkan akan dijadikan rujukan barisan pemimpin pelapis pendidikan di negeri ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Memperkasakan Kepimpinan Pertengahan Pendidikan Sekolah-sekolah Menengah negeri Johor, di Pusat Islam, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi M4P, Rahmat Bahauddin, berkata pihaknya gembira apabila buku berkenaan dapat diterbitkan, sekali gus membolehkan digunakan ahlinya.

Katanya, sebagai dokumen penting, buku berkenaan mengandungi maklumat, peraturan dan panduan lengkap untuk pemimpin melaksanakan tugas pentadbiran dengan baik serta terurus.

“Buku itu boleh dijadikan rujukan asas supaya pemimpin pelapis di sekolah boleh mengurus dan merancang tugas sepanjang tahun dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Berita harian Online: 26 November 2008

Tiada ulasan: