KETIKA pelbagai pihak membahaskan sama ada perlu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 diteruskan selepas ini, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan kelmarin pula membuktikan kaedah itu tidak menjejaskan prestasi murid. Bayangkan, daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris berbanding hanya 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat, manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini amat memberangsangkan. Maka terbukti, selepas enam tahun pelaksanaan PPSMI, ia tidak menjejaskan prestasi murid. Seramai 518,616 calon UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu.
Sejak kebelakangan ini, isu mengenai PPSMI kembali hangat dibincangkan dan ada yang mengesyorkan supaya ia dikaji semula dengan berpendapat memadai bagi murid untuk belajar bahasa Inggeris khusus untuk subjek bahasa Inggeris tanpa perlu membabitkan Sains dan Matematik dalam bahasa asing itu kerana membabitkan banyak terminologi yang mengelirukan murid. Malah, ada yang mendakwa ramai guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris terus mengajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu, apatah lagi memang ada pilihan untuk penggunaan bahasa kebangsaan itu, tetapi ia dikatakan menyimpang daripada matlamat sebenar PPSMI. Bagaimanapun, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan UPSR kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh. Berikutan itu, kementerian terbabit sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita berharap semua pihak yang terbabit untuk menentukan nasib PPSMI itu mengambil pendekatan realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, termasuk ahli akademik, pakar bahasa, pemimpin politik termasuk pembangkang dan wakil persatuan ibu bapa dan guru. Sebarang perbincangan tidak perlu ada unsur emosi, tetapi rasional dengan sasaran utama untuk kebaikan anak kita dan masa depan mereka, termasuk kepentingan negara. Keputusan itu nanti penting untuk dilaksanakan selepas selesai satu pusingan enam tahun, untuk dijadikan dasar bagi pelaksanaan enam tahun akan datang.
Berita Harian Online: 15 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan