Selasa, 4 November 2008

Proses naik gred ikut prosedur

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat 'Guru Dedikasi Kluang, Johor yang bertajuk 'Guru Terlepas Peluang Naik Pangkat,' yang disiarkan dalam ruangan ini 30 September lalu.

Adalah dimaklumkan, urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 ke Gred DG44 secara 'times-based' khas untuk penyandang (KUP) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah urusan berterusan mulai tahun ini. Mereka yang belum mendapatnya juga akan dipertimbangkan apabila memenuhi syarat ditetapkan.

Pekeliling urusan kenaikan pangkat kali pertama dikeluarkan pada 26 Ogos lalu dan ditutup pada 30 September. Ia menerangkan syarat atau kriteria bagi calon yang dilantik ke PPPS DG41 sekurang-kurangnya tujuh tahun berkhidmat pada atau sebelum 16 Mei 2008; atau sekurang-kurangnya tujuh tahun dalam tempoh 17 Mei hingga 31 Disember 2008. Pengadu adalah di kalangan kumpulan guru yang dilantik pada 1 Januari 2002 dan pengiraan tempoh perkhidmatan untuk kenaikan pangkat kumpulan itu akan hanya dipertimbangkan pada 1 Januari 2009 bukan 31 Disember 2008.

Kumpulan guru yang dilantik pada 1 Januari 2002, surat pekeliling urusan kenaikan pangkat PPPS Gred DG41 ke Gred DG44 secara 'time-based' KUP bagi PPPLD yang dilantik sebagai PPPS Gred DG41 untuk tahun 2009 akan dikeluarkan awal tahun hadapan. Mereka boleh mengemukakan borang permohonan sebaik saja surat pekeliling tahun 2009 dikeluarkan.

Berkaitan peluang kenaikan pangkat ke Gred DGA32 dan kemudian dilantik sebagai DG41 jika dibandingkan dengan pengadu yang naik pangkat dari Gred DGA29 ke Gred DG41, perkara itu sudah jelas menjadi dasar kerajaan melalui pewujudan dua skim berbeza, iaitu Skim PPPS dan Skim PPPLD.

Skim PPPS menyediakan peluang kenaikan pangkat lebih luas, antaranya kenaikan pangkat sebagai guru cemerlang secara 'time-based' dan mengisi jawatan hakiki di sekolah (jawatan guru tingkatan 6) serta di Institut Aminuddin Baki, Institut Perguruan, Kolej Matrikulasi dan Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran.

Jika pengadu memilih laluan guru cemerlang, tempoh perkhidmatan PPPS Gred DG41 untuk dinaikkan pangkat ke DG44 dipendekkan dari tujuh tahun kepada lima tahun. Untuk ke gred yang lebih tinggi hanya perlu dinaikkan pangkat dalam gred sebelumnya tanpa melalui syarat tempoh tiga tahun.

Pengadu yang kini dalam skim PPPS mempunyai pilihan lebih baik berbanding skim PPPLD. Pengadu patut memilih laluan kenaikan pangkat skim PPPS yang bersesuaian bagi kemajuan kerjayanya.

Sebarang penjelasan lanjut sila berhubung dengan Unit Naik Pangkat Siswazah, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran.

RUBAAYAH OSMAN,
Ketua Unit Media dan
Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran.

Berita Harian Online: 3 November 2008

Tiada ulasan: