Hasil daripada kejayaan dan kecemerlangan yang berterusan, membolehkan SMTT meraih Anugerah Menteri Pelajaran Malaysia baru-baru ini iaitu hadiah berprestij pengurusan sekolah di negara ini.
Sebelum ini, SMTT pernah dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2007.
Ia juga pernah memenangi anugerah Kualiti Meningkat Mutu Kerja (KMK) Menteri Pelajaran pada konvensyen KMK Kementerian Pelajaran baru-baru ini.
Bukan mudah untuk mencapai tahap setinggi ini jika tiada perancangan teliti dan mencapai tahap yang diperlukan oleh lembaga penilai.
Pengetua Kanannya, Abdul Hashim Abdul Karim berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan sekolahnya terpilih menerima Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) 2008.
Katanya, sekolah tersebut menghayati budaya 'PRIME' yang dipantau dalam tempoh tiga tahun.
Jelasnya, PRIME ialah mengamalkan budaya kerja berpasukan, bersama-sama bekerja sampai berjaya, berusaha, saling tolong-menolong, hormat-menghormati dan saling mempercayai antara kakitangan dan guru.
Selain itu katanya, budaya sayangkan sekolah juga disemai kepada pelajar di samping amalan guru yang banyak menyumbang sehingga sekolah tersebut banyak memenangi hadiah.
Hasilnya kata beliau, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikeluarkan setiap tahun amat memberangsangkan seperti pada tahun lalu mendapat kelulusan 100 peratus.
Lebih membanggakan SPM 2007 mencapai GPS terbaik iaitu 5.24 dan 5.66 pada tahun 2006.
Berdasarkan pencapaian GPS itu, SMTT berada pada ranking pertama di kalangan SMT di negeri Perak dan ranking ke-20 di peringkat kebangsaan.
Seramai empat pelajar berjaya mencatat keputusan terbaik iaitu 8A, dua orang mendapat 7A.
''Apa yang kita lakukan untuk mencapai tahap ini adalah dengan melakukan pelbagai program seperti kelas tambahan bagi subjek kritikal, ceramah dan bengkel menjawab soalan, latih tubi, kelas pemulihan bagi pelajar lemah dan program skor sempurna semasa cuti persekolahan," katanya.
Selain itu katanya, pihak sekolah membuka pusat sumber tambahan empat malam seminggu dan makmal komputer dibuka pada waktu malam khusus untuk kemudahan pelajar asrama belajar membuat rujukan tambahan.
Katanya, sekolah ini juga berada di lokasi paling strategik dan persekitaran yang memberansangkan.
Utusan malaysia Online: 21 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan