Sabtu, 22 November 2008

PPD diarah buka bilik gerakan

KOTA BHARU 20 Nov. - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) membuka bilik gerakan banjir bagi memantau sekolah terutama yang dijadikan pusat peperiksaan.

Pengarahnya, Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, ia bagi memastikan calon di kawasan berpotensi dilanda banjir tidak terhalang daripada menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan itu juga katanya, sebuah jawatankuasa di peringkat jabatan telah dibentuk bagi merangka dan menyelaras persiapan termasuk menyediakan kenderaan seperti bot untuk mengangkut calon ke pusat peperiksaan atau ke asrama jika terperangkap di kawasan banjir.

''Selain PPD, pengetua di sekolah-sekolah berisiko banjir termasuk di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Krai dan Kota Bharu turut menubuhkan jawatankuasa peringkat sekolah," katanya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai kemungkinan Kelantan akan mulai dilanda banjir ekoran musim tengkujuh.

hingga lewat petang Sabtu ini.

Mohd. Ghazali memberitahu, bagi memastikan persediaan lengkap, beliau juga meninjau beberapa sekolah di sini termasuk Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dan Sungai Pinang di Tumpat serta SMK Penambang dan Kedai Buloh di Kota Bharu.

Setakat ini, katanya , beliau berpuas hati dengan persediaan yang dibuat di peringkat PPD dan juga sekolah -sekolah terlibat.

Selain itu, beliau menasihatkan pelajar terlibat supaya sentiasa mendapat maklumat dari sekolah, menjaga kesihatan dan mengelakkan diri daripada bermain di kawasan banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2008

Tiada ulasan: