Isnin, 17 November 2008

Persidangan Ke-5 Meja Bulat Bagi Mengumpul Lebih Banyak Maklumat Mengenai PPSMI

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan mengadakan Persidangan Kelima Meja Bulat bagi mengumpul lebih banyak maklumat sebelum membuat keputusan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail dan Datuk Wee Ka Siong berkata persidangan itu akan melibatkan ahli akademik, profesional pendidikan, persatuan ibu bapa dan guru serta pihak berkepentingan yang lain.

Menurut mereka, persidangan itu bertujuan membentang analisis keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005-2007 serta peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 dan mendapatkan pandangan mereka berhubung hala tuju program PPSMI.

"Bagi mendapatkan standard tinggi sistem penaksiran negara dan amalan terbaik peringkat antarabangsa, Lembaga Peperiksaan Malaysia sentiasa menjemput pakar penaksiran dari badan peperiksaan terkenal dunia untuk menghadiri Mesyuarat Penentuan Standard bagi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," kata Razali dan Wee dalam satu kenyataan bersama di sini, hari ini.

Mereka berkata Kementerian Pelajaran sedang menganalisis keputusan PPSMI 2008 agar ia dapat dibentangkan semasa Persidangan Kelima Meja Bulat itu.

Sehingga kini, Kementerian Pelajaran telah menganjurkan empat siri Persidangan Meja Bulat dan dua mesyuarat khas bagi mendapatkan maklumbalas dalam bentuk kajian, pemantauan, saranan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan, kata Razali dan Wee.

"Kami suka menyatakan bahawa keputusan UPSR bukanlah semata-mata penentu kepada sebarang keputusan yang hendak dibuat berhubung PPSMI tetapi juga kami akan menganalisis dan melihat secara menyeluruh semua dapatan dan kajian yang diutarakan melalui pelbagai forum," kata mereka.

Mereka berharap selepas lima persidangan meja bulat dan dua mesyuarat khas, kementerian akan dapat mengangkat rumusan dan cadangan yang kukuh kepada Jemaah Menteri kelak.

BERNAMA: 16 November 2008

Tiada ulasan: