KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Tun Abdul Rahman Yakub berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).
Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.
"BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak pada Rabu.
Abdul Rahman berkata isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.
Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.
"Saya tidak setuju," katanya dengan diberi tepukan gemuruh para peserta yang majoritinya merupakan golongan pendidik.
Katanya ramai golongan akademik dan profesional yang pernah mengikuti sistem pendidikan yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar, kini berjaya dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata ini membuktikan BM bukan halangan untuk pelajar berjaya dalam subjek-subjek berkenaan.
"Kejayaan pelajar menguasai Sains dan Matematik bukan sahaja bergantung kepada bahasa pengantar, namun kombinasi pelbagai faktor yang hanya boleh dikesan dan dihuraikan oleh pakar pendidikan," katanya.
Turut bercakap kepada pemberita, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah berkata, kajian terperinci dan berhati-hati perlu dilakukan sebelum membuat perubahan berkaitan dasar pendidikan.
Katanya keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan merupakan kaedah yang sesuai dalam menilai tahap pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris menerusi kedua-dua subjek tersebut, kerana soalan dalam UPSR kebanyakkannya adalah berbentuk objektif.
"Kita tidak dapat tahu atau menilai sama ada mereka memahami soalan tersebut," katanya sambil mencadangkan supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda murid-murid pada tiga tahun pertama di Sekolah Rendah supaya murid memahami dengan mendalam konsep subjek berkenaan.
Dr Adi Badiozaman berkata aspek pembelajaran BM dan BI perlu dimantapkan di peringkat awal persekolahan supaya murid tidak mengalami masalah apabila mereka menlanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini dilaporkan sebagai berkata keputusan sama ada pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan diteruskan atau tidak, hanya akan dibuat selepas keputusan UPSR tahun ini dinilai.
Keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan Khamis.
BERNAMA: 12 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan