Khamis, 20 November 2008

Dewan Rakyat: Guru cemerlang tidak naik pangkat automatik

Urusan kenaikan dilaksana berdasar perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang memperkenalkan dasar memberi kenaikan pangkat secara automatik kepada guru mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak dua kali, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Katanya, urusan kenaikan pangkat guru dilaksana berdasarkan dasar kenaikan pangkat perkhidmatan awam.

"Bagaimanapun pencapaian cemerlang guru seperti itu adalah satu kelebihan dalam urusan yang membabitkan kenaikan pangkat," katanya menjawab soalan Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam).

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen sama, beliau berkata, sebanyak 32,234 jawatan kenaikan pangkat untuk kumpulan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Bukan Siswazah diwujudkan di seluruh negara berdasarkan anggaran belanjawan mengurus bagi 2009.

Katanya, kementerian melalui Bahagian Sumber Manusia juga akan berusaha mengisi beberapa jawatan yang belum dipenuhkan.

Berita harian Online: 19 November 2008

Tiada ulasan: