PUTRAJAYA 14 Nov. - Kebimbangan pihak tertentu terhadap kemungkinan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) akan menjejaskan pencapaian pelajar dalam penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan bahasa ibunda adalah tidak berasas.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keadaan tersebut terbukti apabila nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) untuk Bahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) meningkat secara signifikan.
Katanya, GPMP bagi subjek BM (pemahaman) Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat 0.07, BM (penulisan) 0.06 dan BM (penulisan) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) 0.11.
''Untuk bahasa ibunda, Bahasa Cina (penulisan) meningkat 0.07 dan Bahasa Tamil (penulisan) pula meningkat 0.04," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, analisis awal Kementerian Pelajaran juga mendapati terdapat kemungkinan PPSMI mempengaruhi peningkatan prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di kalangan calon UPSR tahun ini.
''Nilai GPMP bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris SK telah meningkat secara signifikan 0.24 iaitu peningkatan yang tertinggi di antara 12 mata pelajaran yang diuji dalam UPSR," katanya.
Hishammuddin berkata, tahap keyakinan dan keselesaan pelajar untuk menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat dalam UPSR tahun ini.
''Misalnya, bagi mata pelajaran Sains, 52.6 peratus atau 268,076 calon menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini termasuk 21.3 peratus calon yang menjawab menggunakan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," katanya.
Katanya, beliau bersyukur kerana kerajaan tidak membuat keputusan yang tergesa-gesa mengenai PPSMI tetapi membenarkan pelajar yang menggunakan pendekatan pengajaran itu sejak darjah satu selesai menduduki UPSR.
''Sekurang-kurangnya dengan keputusan ini, kita semua memberi peluang kepada anak kita untuk membuktikan kemampuan dan tahap keyakinan mereka selepas melalui PPSMI selama enam tahun.
''Seperti kenyataan saya semalam, saya berpandangan bahawa keputusan UPSR telah menunjukkan dasar PPSMI tidak gagal. Mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam pelaksanaannya, tetapi belum cukup untuk menyimpulkan bahawa ia gagal," katanya.
Hishammuddin berkata, kementeriannya akan menjalankan analisis yang lebih mendalam mengenai keputusan UPSR dengan hasilnya dibawa kepada perbincangan dalam persidangan meja bulat PPSMI akan datang.
''Analisis yang lebih mendalam dan menyeluruh akan dibuat sebelum ia dibawa ke satu lagi persidangan meja bulat dan seterusnya kepada Jemaah Menteri agar keputusan mengenai PPSMI dapat dibuat," katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, keputusan UPSR bukan merupakan faktor tunggal dalam menentukan dasar PPSMI.
Kementerian Pelajaran ujarnya, akan meneliti secara menyeluruh semua kajian dan pandangan masyarakat.
Utusan Malaysia Online: 15 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan