Oleh Zainab Mohd Yatim
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menegaskan keputusan sama ada mahu meneruskan Program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau tidak akan dibuat hanya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru diumumkan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Datuk Wee Ka Siong, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan berkata, ia akan turut mengambil kira penilaian pelbagai aspek, terutama siri Persidangan Meja Bulat yang membabitkan profesional, cendekiawan, badan bukan kerajaan dan ahli politik.
Jelas mereka, kementerian juga sedang membuat analisis lebih mendalam dan menyeluruh terhadap keputusan PPSMI dan ia akan dibentangkan pada persidangan meja bulat yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, persidangan terakhir selepas empat siri dan dua mesyuarat khas sebelum ini juga akan membentangkan analisis keputusan UPSR 2008, Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005-2007 serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 dan mendapatkan pandangan hala tuju PPSMI.
Kata mereka, empat persidangan meja bulat dan dua mesyuarat khas mengenai PPSMI sudah diadakan untuk mendapatkan maklum balas dalam bentuk perolehan kajian serta pemantauan, pandangan, saranan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan.
“Bagi mendapatkan standard tinggi sistem pentaksiran negara atau proses penanda aras dan amalan terbaik peringkat antarabangsa, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sentiasa menjemput pakar terkenal dunia untuk menghadiri Mesyuarat Penentuan Standard bagi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Menurut laporan pakar berkenaan, mesyuarat dijalankan dengan profesional, teliti, adil dan saksama serta menepati amalan terbaik badan-badan peperiksaan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu di sini, semalam.
Kedua-dua menteri itu juga mengulas, keputusan UPSR 2008 yang baru diumumkan Khamis minggu lalu dan analisis awal menunjukkan dasar PPSMI tidak gagal.
Ini berdasarkan kepada pencapaian keseluruhan calon yang didapati lebih baik berbanding purata lima tahun sebelum pelaksanaannya dan tidak berlaku penurunan drastik dari segi prestasi mata pelajaran.
“Tahap keyakinan dan keselesaan murid menggunakan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan Sains dan Matematik juga meningkat. Pada waktu yang sama wujud peningkatan ketara dalam prestasi mata pelajaran bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya.
“Kementerian juga akan menganalisis dan melihat secara menyeluruh semua perolehan pelbagai kajian dan juga pandangan semua pihak berkepentingan yang dikemukakan melalui pelbagai forum,” katanya.
Berita Harian Online: 17 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan