KENINGAU: Warga pendidik di negeri ini diingatkan supaya menampilkan tingkah laku profesional ke arah meningkatkan prestasi kerjaya perguruan dan tidak hanya menjadi 'guru hujung bulan' semata-mata.
Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh, berkata pendidik mempunyai keistimewaan masing-masing dan wajar menggunakan kelebihan itu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
"Sikap sambil lewa, tidak berminat dan hanya menjadi `guru hujung bulan' mesti dikikis kerana kita perlukan pendidik yang komited terhadap kerjaya sebagai pendidik anak bangsa.
"Jika kita bekerja dengan minat dan tanggungjawab, sudah tentu hasil kerja kita lebih baik berbanding bekerja kerana terpaksa tanpa memikirkan masa depan generasi muda yang sepatutnya menerima ilmu pengetahuan sewajarnya,” katanya pada majlis jamuan akhir tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pelajaran Gabungan, Kaipin Rosmin;Guru Besar, Yazid Mohd Hasnan Tawik; ketua unit Jabatan Pelajaran dan warga pendidik sekitar Keningau.
Normah turut menegur segelintir guru yang tidak menggunakan kebijaksanaan untuk memanfaatkan alat bantu ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Malah, katanya, ada juga guru dikesan gagal mengawal suasana kelas hingga menjejaskan prestasi pelajar.
"Keadaan ini boleh diatasi menerusi amalan budaya bekerja dalam kumpulan supaya matlamat yang perlu dicapai adalah sama.
"Tugas guru kini semakin berat tetapi ia perlu dianggap sebagai cabaran dan bukannya tekanan, malah cabaran itu seharusnya membantu meningkatkan kematangan dalam menyelesaikan masalah," katanya.
Berita Harian Online: 15 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan