Oleh Samsudin Oli Mohamed
Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman |
Budiman berusaha menempatkan diri dalam kelompok elit di Kedah
BERBANDING usianya baru mencecah enam tahun, namun Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman (Budiman), Jitra, Kedah mempunyai potensi besar mengukir nama dalam bidang pendidikan, khususnya di negeri Jelapang Padi itu.
Mula beroperasi pada 2002, sekolah yang menempatkan 328 pelajar dan 27 guru diwujudkan berikutan terdapatnya keperluan menampung pertambahan pelajar mendadak di kawasan tersebut.
Diterajui pengetuanya Pazil Jaafar sehingga Ogos 2007, sekolah dibina berdasarkan konsep "design and build" menjadi pusat menuntut ilmu pilihan ramai.
Kini dibawah pimpinan Dewi Rosnah Radin Suhadi, Budiman mempunyai 1,468 pelajar dan 88 guru. Berbekalkan slogan kualiti sepanjang masa, sekolah giat berusaha menempatkan diri di dalam kelompok elit di Kedah.
Kekuatan Budiman ialah sentiasa mementingkan kualiti dalam pengurusan, sekali gus teliti dalam setiap kegiatan dirancang apatah lagi dengan kehadiran Yang Teramat Mulia Tunku Temenggung ke Majlis Anugerah Kualiti sekolah setiap tahun.
DEWI ROSNAH (duduk tengah) sedang berbincang dengan kakitangan pentadbiran sekolah. |
Kini sekolah itu berjaya melonjakkan diri sebagai sekolah harian terbaik akademik di daerah Kubang Pasu. Meskipun kategori Gred B, namun anugerah kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diraih sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah tahun ini membuktikan kemampuannya melahirkan ramai pelajar cemerlang akademik.
Budiman pernah dicalonkan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik peringkat SPM Kategori Sekolah Harian pada 2008, sekali gus mula disegani di Kedah.
Reputasinya juga menyerlah dalam bidang kokurikulum sama ada bidang koakademik, sukan mahupun badan beruniform.
Selain pasukan Bahas Ala Parlimen, Kelab Rakan Sebaya, nasyid, tilawah, bola sepak, golf dan ekuin yang mula dicemburui pesaing. Kini sekolah itu sedang cuba mencapai tahap membanggakan dalam bidang muzik.
PELAJAR SMK Bandar Baru Darulaman aktif dalam kegiatan kokurikulum. |
Usaha berterusan serta komitmen tinggi kokurikulum ditunjukkan apabila mereka mendapat Anugerah Utama Kecemerlangan Kokurikulum dan Sukan Daerah Kubang Pasu serta Anugerah Khas Sekolah Cemerlang Pengurusan Kokurikulum Peringkat Negeri Kedah 2008.
Pencapaian membanggakan itu adalah hasil kerjasama semua pihak yang tidak jemu dalam menyumbangkan tenaga dan masa untuk menjadikan institusi tersebut sebagai sekolah ternama di negara ini.
Nota kejayaannya terletak pada barisan kepemimpinan mantap, luhur dan ikhlas. Pengetuanya sentiasa memastikan kegiatan dijalankan memberi manfaat kepada pembinaan sahsiah pelajarnya.
Dibantu penolong kanan dan guru yang gigih serta berwibawa, beliau sentiasa memberi penekanan kepada pematuhan disiplin dan peraturan bagi mencapai matlamat pengurusan instruksional mapan.
Pengalaman berkursus di King's College London di bawah program Sekolah Kluster Kecemerlangan Kohort Pertama juga tidak dipersiakan. Pelbagai kegiatan "best practices" diadaptasi dan diserapkan dalam membina jenama sekolah itu.
Semangat berpasukan di kalangan guru adalah adalah kunci kejayaan Budiman, malah setiap dari tenaga pengajar di sekolah berkenaan begitu berdedikasi memberikan sumbangan mengikut bidang dan kemahiran masing-masing.
"Menerajui sekolah ini adalah satu cabaran tetapi meraikan kejayaannya dari semasa ke semasa adalah satu kebanggaan. Dengan pertambahan pelajar yang mendadak dan permohonan kemasukan yang sangat tinggi, kelas sesi petang perlu dimulakan pada 2009," kata Dewi Rosnah Radin Suhardi kepada Berita Harian, baru-baru ini.
"Sesungguhnya, kekuatan mental, kesabaran dan kegigihan warga sekolah akan lebih teruji. Dalam hal ini, sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan kolaborasi dengan jabatan serta agensi setempat dalam menjana insan berkualiti perlu dimanipulasi secara optima," tambahnya.
Berita Harian Online: 26 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan