Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau, Jimina Payus @ Doris, berkata tindakan mengemukakan masalah secara terus kepada pihak atasan untuk mendapatkan penyelesaian tanpa mencuba mengatasinya terlebih dulu, membuktikan mereka lemah dan tidak bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing.
"Sebagai pengurus sekolah, kita harus mempunyai kewibawaan untuk mengurus dan menyelasaikan masalah di peringkat sekolah.
"Jangan terima jawatan jika tidak mampu bekerja secara cekap dan tegas," katanya ketika berucap pada majlis meraikan persaraannya, di sini semalam.
Majlis itu dianjurkan kakitangan Pejabat Pelajaran Gabungan (PPG) Keningau dengan kerjasama Majlis Pengetua, Guru Besar dan Persatuan Wanita Sabah.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau, Kaipin Rosmin, Pengetua dan Guru Besar serta guru dari sekitar daerah ini.
Turut diraikan ialah beberapa kakitangan yang bertukar selepas dinaikkan pangkat sebagai Pengerua, Guru Besar dan Penolong Kanan.
Jimina Payus pernah berkhidmat di beberapa sekolah menengah di daerah ini sebelum menjawat jawatan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau selama tiga tahun, mulai 2006.
Beliau juga mengingatkan Pengetua, Guru Besar dan guru supaya sentiasa berusaha menimba ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa bagi memantapkan pentadbiran di sekolah masing-masing.
Jimina berkata, Pengetua, Guru Besar dan guru harus amanah serta ikhlas ketika melaksanakan tugas bagi memastikan mereka meninggalkan nama baik apabila bertukar atau bersara kelak.
"Jasa baik yang kita sumbangkan dalam pendidikan akan menjadi warisan kepimpinan sekolah. Jika yang baik kita tinggalkan, maka yang baik juga akan mewarisinya," katanya.
Berita Harian Online: 14 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan