PORT DICKSON 25 Nov. - Mata pelajaran Teknik dan Vokasional akan diajar bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah menengah teknik di seluruh negara menjelang 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, sebelum ini, mata pelajaran berkenaan hanya diajar kepada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah aliran tersebut.
Menurut beliau, langkah memperkenalkan mata pelajaran itu di peringkat awal lagi adalah untuk membolehkan para pelajar menyalurkan kreativiti selain menanamkan minat terhadap bidang yang mereka ingin ceburi.
''Kementerian kini bersiap sedia untuk memperlengkapkan tenaga pengajar selain meningkatkan lagi beberapa infrastruktur asas bagi melaksanakan program teknik dan vokasional,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Guru-Guru Vokasional dan Kemahiran 2008 di sini malam tadi.
Katanya lagi, menjelang tahun depan, pihaknya berharap segala keperluan pelajar dapat disediakan dengan teratur kerana ia merupakan satu agenda di bawah Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional di Kementerian Pelajaran.
''Kesemua guru yang terlibat akan diberi latihan berasaskan kecekapan. Setakat ini, seramai 300 guru telah mengikutinya dan ia akan diperluaskan bukan sahaja melibatkan tenaga pengajar di sekolah teknik, malah meliputi guru-guru di sekolah teknik harian,'' jelas beliau.
Selaras dengan pelaksanaan itu, Razali memberitahu, pembelajaran dalam kedua-dua bidang berkenaan juga akan dilanjutkan bagi program matrikulasi atau diploma sebagai satu langkah bagi membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran mereka pada tahap tertinggi.
Beliau berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar memandangkan ia memenuhi kehendak mereka yang lebih cenderung ke arah bidang-bidang kemahiran serta praktikal.
''Aktiviti-aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya dapat memberikan satu kepuasan kepada mereka yang lebih berminat ke arah bidang-bidang seumpama itu,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 26 November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan