Selasa, 18 November 2008

780 sekolah tiada pengetua, guru besar

JERANTUT 16 Nov. - Kementerian Pelajaran diminta mempercepatkan pengisian 780 kekosongan jawatan pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara sebelum bermula sesi persekolahan Januari depan.

Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jemale Paiman berkata, pihaknya mendapati sebanyak 380 sekolah menengah tidak mempunyai pengetua dan 400 sekolah rendah tidak memiliki guru besar.

Beliau berkata, kekosongan jawatan itu sepatutnya diisi segera bagi memantapkan pengurusan dan pentadbiran sekolah yang selama ini dipangku guru penolong kanan.

''Kita tidak mahu kelewatan pengisian jawatan berkenaan membantutkan usaha kerajaan melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menjadi tonggak kecemerlangan profesional golongan pendidik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Jemale menegaskan, pihaknya turut mahu Kementerian Pelajaran menyegerakan pengesahan jawatan Guru Besar Cemerlang gred DGA38 serta mempercepatkan pelantikan Pengelola Cemerlang DGA38 di kementerian, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah di seluruh negara.

''Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran tidak perlu menggunakan kaedah pemangkuan jawatan seperti diamalkan sekarang," katanya.

Menurutnya, kaedah berkenaan merugikan pegawai dilantik kerana terpaksa menunggu lama memangku jawatan, malah pendekatan itu tidak terdapat dalam struktur perjawatan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Jemale yang juga Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM) meminta Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pekeliling mengenai kaedah bayaran yuran sekolah sebelum akhir bulan depan.

Langkah itu, jelas beliau, memudahkan ibu bapa membuat persiapan perbelanjaan anak masing-masing bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Beliau menambah, langkah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pekeliling yuran persekolahan 2009 yang dikatakan selepas Mac tahun depan mungkin menambah beban kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

Utusan Malaysia Online: 17 November 2008

Tiada ulasan: