Sabtu, 22 Januari 2011

Guru terbunuh sebelum sempat bertunang



TAN Lian Hoe melawat keluarga Allayarham Mohd. Shahir di Gerik, kelmarin.


GERIK 21 Jan. – Hasrat seorang guru untuk mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Gerik-Pengkalan Hulu di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika Mohd. Shahir Khalidi Mohd. Azmi, 26, sedang menunggang motosikal pulang ke rumah selepas mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Bersia di sini sebelum kenderaannya merempuh sebuah bas.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Mohd. Azmi Ismail, 58, berkata, anaknya itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis bernama Junaidah yang kini masih belajar di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim tidak lama lagi.

“Beberapa hari sebelum ini, anak saya berkelakuan agak pelik dengan membotakkan kepalanya dan tiba-tiba berubah menjadi pendiam.

“Allahyarham juga sempat makan tengah hari bersama keluarga dan menyatakan hasrat ingin membuka sebuah kedai gambar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Kerajaan di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di leher, tangan dan kaki berikutan kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati, pemandu bas dari Lenggong itu tidak memberhentikan bas ketika memasuki simpang menyebabkan mangsa gagal mengawal lalu merempuh bas berkenaan,” katanya.

Kematian Mohd. Shahir Khalidi turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe yang turut menziarah keluarga mangsa.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Kampung Padang di sini.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2011

Tiada ulasan: