|
|
KUCHING 3 Jan. - Kebiasaannya suasana dalam kelas pada hari pertama persekolahan, murid Tahun Satu pasti hingar-bingar dihiasi gelak ketawa, senda gurau dan pelbagai gelagat mereka yang mencuit hati.
Namun di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (B) Batu Lintang, di sini, situasinya jauh berbeza kerana hanya kedengaran suara halus seorang murid buta yang belajar mengira bersendirian bersama seorang guru yang juga senasib dengannya, Sa Senabong.
West Asoi Pega, 7, satu-satunya murid Tahun Satu yang baru mendaftar di sekolah itu memulakan hari pertama sesi persekolahan seorang diri tanpa ada seorang pun ahli keluarga menemaninya.
Di sebalik kecacatannya, semangat yang ditunjukkan si kecil ini seolah-olah ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa dia mampu berdikari seperti kanak-kanak normal lain.
Guru besar sekolah tersebut, Faridah Abdullah berkata, West merupakan seorang murid istimewa kerana selain daripada buta, dia juga mengalami kesukaran untuk bercakap selain agresif dan tidak dapat mengawal tingkah lakunya.
"Cabaran untuk mendidik West lebih berat kerana kita tidak pasti sama ada dia mendengar dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, kita dapati dia bertindak balas terhadap sebarang arahan yang dikeluarkan.
"Jadi buat permulaan, kita akan ajar kanak-kanak ini mengira dan mendedahkannya dengan tulisan braille manakala sukatan pelajaran yang diguna pakai bagi mengajar West sama sahaja seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.
"Selain itu, kita telah tetapkan murid yang mengalami kecacatan berganda akan diajar dengan kaedah seorang guru bagi seorang murid," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jelas Faridah, selain West, terdapat seorang lagi murid buta, Geilytean Allesen Maran, 8, yang berkongsi kelas dengannya.
"Geilytean sepatutnya berada di tahun dua. Dia terpaksa dikekalkan di tahun satu supaya sukatan pelajaran yang dipelajarinya tidak membebankan dan setara dengan kemampuan.
"Berbanding West, Geilytean mengalami masalah untuk menerima pembelajaran kerana dia langsung tidak dapat mendengar," katanya.
Dalam pada itu Faridah memberitahu, terdapat 41 murid yang terdiri daripada kanak-kanak buta dan rabun teruk bersekolah di situ.
"Jumlah itu bersesuaian dengan tenaga pengajar yang kita ada buat masa sekarang iaitu seramai 16 orang dengan lima daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).
"Majoriti guru di sini berasal daripada Semenanjung. Selain itu, ada juga bekas pelajar yang menjadi guru dan berkhidmat di sini," katanya.
Tambah beliau, memandangkan sekolah itu menyediakan penempatan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, kebanyakan ibu bapa bukan sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru untuk mendidik, malah menjaga mereka seperti anak sendiri.
"Murid istimewa ini terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga serta datang dari seluruh pelosok Sarawak.
"Meskipun sedar mereka dalam keadaan serba kekurangan berbanding orang biasa serta berjauhan dengan keluarga, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan mereka untuk menimba ilmu," katanya.
Utusan Malaysia Online: 4 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan