Khamis, 27 Januari 2011

Nilai semula tugas pengetua

Oleh Veena Rusli

2011/01/27

Muhyiddin garis empat faktor lahir modal insan cemerlang

BANDAR SERI BEGAWAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat isu utama diberi tumpuan bagi mem-bolehkan pengetua di rantau Asia Tenggara menikmati keseimbangan dalam memenuhi tuntutan persekitaran sekolah yang sentiasa berubah dan kehendak ibu bapa serta masyarakat yang semakin mendesak.

Empat faktor dikenal pasti ialah:

  • amalan baik di kalangan pengetua;
  • Sama ada pengetua boleh memanfaatkan teknologi bagi menghubungkan pelbagai disiplin kepakaran, mengekalkan sekolah sebagai pusat pembelajaran dan memperkenalkan inovasi yang berbentuk mendidik;
  • Keperluan sistem sokongan dipenuhi bagi membolehkan pengetua meningkatkan pencapaian dari aspek pembangunan peribadi dan profesional untuk menjadi pemimpin;
  • Peluang dan autonomi bagi pengetua menjalin rangkaian sesama mereka ke arah meningkatkan kaedah pembelajaran pelajar.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, permasalahan itu perlu diatasi segera jika penggerak sektor pendidikan khususnya pengetua nekad ke arah melahirkan modal insan terbaik sebagai pelaburan masa depan.

“Di Malaysia, kita ada Program Penambaikan Sekolah (SIP) di mana pengetua mesti mengenal pasti keperluan untuk meningkatkan prestasi pelajar, manakala Kementerian Pelajaran memberi sokongan supaya sasaran piawaian dipenuhi.
“Kita berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan SIP dan sejak dilancarkan tahun lalu, kira-kira 40 peratus sekolah mencatat peningkatan dari segi prestasi pelajar," katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Pegawai Pendidikan ASEAN kelima dan Forum Pengetua Sekolah Asia Tenggara ketiga bertemakan `Perkongsian dan Mengguna Pakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara Ke Arah Pembangunan Modal Insan dan Inovasi Pendidikan Abad ke-21' di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, pengetua tidak boleh bergerak bersendirian kerana sekolah adalah sebahagian daripada agenda pendidikan yang membabitkan jaringan rangkaian luas serta memerlukan penyertaan pelbagai pihak.

Ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), katanya, membawa banyak cabaran baru bagi pengetua, termasuk mencari keseimbangan dari segi capaian ke dunia luar tanpa menjejaskan nilai moral dan memastikan guru berada di landasan sama dengan pelajar dari segi kecekapan teknologi.

"Sudah tiba masanya kita menilai semula fungsi pengetua dalam mengurus sekolah sebagai institusi pengajian kerana ia tidak lagi terhad kepada pelaksana atau pembuat keputusan,” katanya.

Sebagai pelaksana dasar, Muhyiddin berkata, pengetua perlu menyelesaikan masalah di setiap peringkat menggunakan perubahan sistematik, selain mencari pendekatan berkesan menerusi rundingan.

Beliau berkata, pengajaran penting diperoleh hasil transformasi pendidikan di Malaysia ialah pentingnya kerjasama antara pengetua sebagai pelaksana dasar dengan pegawai pelajaran selaku pembuat dasar.

Berita Harian Online: 27 Januari 2011

Tiada ulasan: