KEMALANGAN yang melibatkan seorang pengakap dan pelajar, Goh Swee Khim dari SMK Hua Lian, Perak sehingga menemui maut ketika menyertai aktiviti kokurikulum sekolah perlu dijadikan iktibar.
Mangsa meninggal dunia apabila sebiji takal jatuh menghempap kepalanya di tapak perkhemahan. Ia amat dikesali kerana sekali lagi nyawa pelajar melayang ketika mengikuti aktiviti sekolah.
Ini bukan kali pertama kemalangan tragik seperti itu berlaku. Pada Oktober 2009, beberapa pelajar mati lemas ketika menyeberang jambatan gantung di tapak perkhemahan di Kuala Dipang, Kampar, Perak.
Pada Januari 2010 pula, seramai lima pelajar dan seorang guru meninggal dunia ketika mengikuti latihan perlumbaan bot naga di Pulau Pinang.
Menyedari tragedi terkini itu, isu keselamatan pelajar sepanjang menyertai aktiviti kokurikulum sekolah boleh dipersoalkan.
Sepatutnya, aspek keselamatan perlu diutamakan dalam apa juga bentuk kokurikulum yang dijalankan bagi mengelakkan kemalangan, kecederaan dan maut ketika pelajar menyertainya.
Ia merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak sekolah yang menganjurkan aktiviti kokurikulum.
Kita tidak sepatutnya menyerahkan segalanya kepada takdir dan hanya menganggap kemalangan freak telah berlaku.
Masanya telah tiba bagi Kementerian Pelajaran untuk menetapkan dan melaksanakan satu polisi yang jelas kepada semua sekolah yang melibatkan penganjuran aktiviti kokurikulum.
Sekolah perlu dianggap sebagai bukan sahaja tempat untuk belajar tetapi juga sebuah tempat kerja. Sehubungan itu, aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu diutamakan.
Isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah itu pula mestilah merangkumi bangunan, struktur binaan lain, tandas, kantin, bilik darjah, pejabat, makmal, padang sekolah dan juga aktiviti kokurikulum sekolah yang selamat.
Kerajaan telah memperkenalkan Program Sekolah Sihat pada 1967 dan Program Sekolah Selamat pada 2002. Bagaimanapun, kedua-dua program itu hanya menitikberatkan soal meningkatkan kesihatan dan menjadikan sekolah selamat daripada masalah sosial serta pengaruh luar yang negatif seperti penagihan dadah, seks bebas, gangsterisme, jenayah dan lain-lain.
Namun, pelajar juga perlukan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah. Ia merangkumi satu dimensi lain serta mengambil kira sekolah sebagai tempat kerja dan selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 yang meletakkan tanggungjawab majikan untuk melindungi pekerja dan orang lain.
Dalam kes sekolah, pekerja adalah guru, kakitangan pentadbiran dan sokongan. Manakala orang lain pula adalah pelajar.
Pematuhan OSH 1994 oleh sekolah sebagai tempat bekerja bertujuan menjadikan sekolah selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan juga pelawat serta ibu bapa.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH).
Utusan Malaysia Online: 13 Januari 2011
2 ulasan:
Perkara ini perlu menjadi perkara utamayang perlu dilihat setiap kali diadakan aktiviti kokom di sekolah.Guru jangan paksa pelajar,biar guru pastikan dahulu tahap kecergasan pelajar,pentingkan alat yang digunakan betul2 selamat,berkualiti.
Guru2 jangan terlalu ghairah mahu lengkapkan sukatan.Pentingkan nyawa pelajar lebih drp yang lain.Bos marah biarlah.Nyawa tidak boleh ditukar ganti.
Pada pendapat saya tiada orang yang bergelar guru mahu atau sengaja menjadikan murid mangsa kemalangan. Hakikatnya manusia sememangnya ada kelemahan atau tidak sempurna.
Sebenarnya Kementerian Pelajaran Malaysia sudah menyediakan Buku Panduan Pelaksanaan Aktiviti Kokurikulum sejak dulu lagi. Bagi orang yang sudah membaca dan memahami maksud buku panduan tersebut tiada lagi cacat celahnya tinggal lagi bagaimana seseorang atau sesuatu organisasi itu menggunapakai segala panduan yang disarankan dan diwajibkan dalam sesuatu aktiviti kokurikulum.
Mungkin juga ada kelemahan dipihak guru atau mungkin juga ada kelemahan dipihak murid tetapi penekanan terhadap kelemahan tindakan tidak boleh diletakkan sepenuhnya dipihak guru sahaja. Kita mendengar dimana-mana bila ada kemalangan pihak guru yang dipersalahkan walhal mereka telah dan sebenarnya sudah mengambil langkah-langkah sewajrnya agar kemalangan tidak berlaku.
Dipihak murid pula, kita menyedari bahawa apa jua tindakan mereka patut diperhatikan oleh guru namun dalam beberapa perkara kita mendapati kadang-kadang murid bertindak sendirian tanpa mendapatkan nasihat guru atau melakukan tindakan diluar pengetahuan guru dan inilah sebenarnya yang sering berlaku.
Jadi, kemalangan yang melibatkan seorang ahli pengakap hingga membawa maut kerana dihempap sebiji takal perlu dilihat dari pelbagai sudut. Janganlah kita terus menyerang guru kerana mungkin ada faktor-faktor lain yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Ada saranan yang mahukan semua perkara dibuat oleh guru adalah sesuatu yang tidak tepat dan lari daripada tanggungjawab seseorang guru sebagai pendidik. Sesuatu organisasi itu mengadakan aktiviti perkhemahan dengan tujuan mendidik dan memberikan pengalaman kepada murid supaya dapat merasakan sendiri bagaimana sesuatu perkara tersebut berlaku atau dilakukan. Ini bermakna murid itu kena buat sesuatu aktiviti setelah diberikan tunjuk ajar atau mendapat bimbingan daripada seorang guru atau seorang yang pakar terhadap aktiviti tersebut.
Namun begitu, guru adalah seorang pembimbing yang sepatutnya lebih tahu daripada pelajar tentang pelaksanaan sesusatu aktiviti yang dijalankan.
Catat Ulasan