Jumaat, 21 Januari 2011

Susu 1Malaysia

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/01/21

SID teruskan semula bekalan mulai bulan depan

MAJLIS Guru Besar Malaysia (MGBM) menyarankan Kementerian Pelajaran menggunakan kaedah baru bagi melancarkan proses penghantaran bekalan Susu 1Malaysia bagi mengelak pencemaran dan kerosakan minuman hingga menjejaskan kualitinya.

Kaedah penghantaran kini di kawasan terpencil dua hingga tiga bulan sekali, perlu diubah kepada sebulan sekali untuk mengelak masalah berkenaan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan murid keracunan.

Yang Dipertua MGBM, Roslan Madun, berkata pembekal tidak patut menjadikan isu logistik meliputi jarak sekolah jauh di luar bandar dan pedalaman menyukarkan pengagihan bekalan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya meminta sistem penyimpanan sempurna perlu dilaksanakan kerana ada sekolah menyimpan bekalan itu atas simen dalam stor yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran dan susu mudah rosak.

“Pembekal utama program Susu 1Malaysia, Sabah International Dairies (SID) bersama pembekal lain mula membekalkan minuman mulai bulan depan selepas memuktamadkan perjanjian dengan kementerian. Keputusan itu menceriakan murid dan ibu bapa.

“Lebih tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah kerajaan seluruh negara bakal menikmati kemudahan itu,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Eksekutif SID, Brig Gen (B) Datuk A Arulpragasam yang memberi jaminan bekalan mula dihantar ke semua sekolah dalam tempoh terdekat dan kumpulan sasar mula menikmatinya selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada 6 Februari ini.

SID membekalkan susu 1Malaysia untuk murid di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Roslan mendedahkan program bekalan Susu 1Malaysia untuk murid Tahun Satu hingga Tahun Enam yang mula dilaksanakan Oktober lalu tidak diteruskan pada sesi persekolahan tahun ini yang bermula 3 Januari lalu.

Arulpragasam ketika diminta mengulas pendedahan itu, berkata bekalan diteruskan bulan depan serta SID mempunyai bekalan susu berkualiti mencukupi.

“Rakan saya dari syarikat lain juga memberi jaminan bekalan susu segar mencukupi sepanjang tahun ini yang diperah daripada induk lembu yang sihat di beberapa ladang ternakan seluruh negara.

“Bekalan itu dihentikan seketika sementara menunggu perjanjian baru pembekalan bersama Kementerian Pelajaran yang kini sudah dimuktamadkan demi kebaikan kumpulan sasar,” katanya.

Program Susu 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanfaatkan murid terutama daripada keluarga miskin yang sukar membeli minuman berkhasiat.

Program yang diumumkan Najib pada 16 September lalu di Sandakan, Sabah mula dilaksanakan Oktober lalu yang membantu melahirkan generasi lebih cergas dan sihat berikutan zat kalsium yang terkandung di dalamnya membantu mencerdaskan otak.

Pada 25 September lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sejumlah 270 juta kotak susu 1Malaysia akan diedarkan setahun.

Berita Harian Online: 21 Januari 2011

Tiada ulasan: