Rabu, 5 Januari 2011

Kerenah 'cuti peristiwa' sekolah Melaka

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan takwim sesi persekolahan 2011. Pihak kementerian meneruskan pengurangan cuti penggal persekolahan selama seminggu sejak tahun 2010. Alasan yang diberikan supaya sekolah-sekolah dapat menggunakan kesemua cuti peristiwa yang diperuntukan empat hari setahun.

Namun demikian Jabatan Pelajaran Melaka lain pula gayanya berhubung cuti peristiwa ini. Pertama, cuti peristiwa yang diambil tidak boleh bersambung dengan cuti hujung minggu. Kedua, cuti peristiwa ialah hari itu merupakan hari tiada pembelajaran dan pengajaran, sebaliknya diadakan aktiviti seperti sukan sekolah, hari ko-kurikulum dan sebagainya.

Lazimnya, cuti peristiwa diadakan sehari selepas aktiviti itu diadakan. Sebagai contoh, jika hari Isnin diadakan sukan sekolah maka hari berikutnya boleh diambil sebagai cuti peristiwa. Hal ini tidak dibenarkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Melaka.

Lebih malang lagi semasa sambutan Aidil Adha baru-baru ini, semua sekolah di Melaka tidak dibenarkan mengambil cuti khas dua hari, walaupun kementerian telah mengeluarkan surat pekeliling.

Lebih menyedihkan lagi, ada pengetua sekolah tidak mahu mengambil cuti peristiwa yang masih berbaki bagi perayaan Aidil Adha dengan alasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah hampir menyebabkan jumlah hari persekolahan 197 hari.

Oleh itu saya cadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan yang jelas dan diselaraskan dengan setiap negeri mengenai kaedah pemberian cuti peristiwa. Janganlah timbul perbezaan agak ketara antara negeri kerana ini menampakkan kepincangan walaupun kita di bawah satu bumbung.

GURU PENCEN

Melaka


Utusan Malaysia Online: 5 Januari 2011

Tiada ulasan: