2011/01/03
SESI persekolahan 2011 diharap dimulai dengan semangat dan harapan menggunung pelbagai pihak untuk memajukan diri, masyarakat dan negara. Tahun ini juga diharap dapat menyaksikan warga Malaysia berusaha gigih menjayakan gagasan 1Malaysia dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.Murid mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), diharap meneruskan kecemerlangan mereka sehingga mencapai kejayaan setinggi mungkin.
Sekolah juga tempat sesuai untuk menjayakan budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai ini semua adalah amalan baik yang dilaksanakan masyarakat dan budaya bangsa Malaysia merangkumi kaum dan etnik sejak sekian lama.
Teras gagasan 1Malaysia bertepatan apa diingini dari setiap murid. Sebagai anak Malaysia dan pewaris negara, murid memainkan peranan penting menuntut ilmu di samping terbabit pelbagai aktiviti dalam bilik darjah mahupun gerak kerja luar bilik darjah.
Segala aktiviti positif sekolah adalah usaha membentuk personaliti, ketrampilan dan jati diri sebagai anak Malaysia. Peranan ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara dalam pembentukan murid amat ditagih.
Profesion perguruan adalah profesion mulia. Guru di negara ini banyak berjasa meningkatkan tahap profesionalisme perguruan negara. Dalam konteks menjayakan gagasan IMalaysia dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, pendidik harus menjiwai profesion perguruan.
Guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggilap bakat serta memperkukuhkan potensi diri murid supaya berjaya dalam bidang diceburi. Peranan pendidik juga untuk mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Sebagai orang yang paling hampir dengan murid, guru perlu memberi dedikasi, komitmen dan keprihatinan kepada semua anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat dalam setiap anak murid.
PROF MADYA DATIN DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Berita harian Online: 3 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan