Isnin, 17 Januari 2011

Ikrar Guru 1Labuan

Oleh Azri Onn Othman
upen@bharian.com.my
2011/01/17

KETIBAAN Yunus (tengah) disambut Ismail (kiri) dan Omar Baki untuk melancarkan Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan 2011 - 2015.
KETIBAAN Yunus (tengah) disambut Ismail (kiri) dan Omar Baki untuk melancarkan Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan 2011 - 2015.
Warga pendidik berazam memartabatkan pendidikan

SERAMAI 1,280 guru yang menjayakan perhimpunan Guru 1Labuan dan pelancaran Perancangan Strategik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) 2011–2015 menyatakan ikrar meneruskan perjuangan bagi mengelakkan kecemerlangan.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan di Labuan, baru-baru ini, menyaksikan pendidik tekad berazam untuk berkhidmat dengan lebih bersungguh-sungguh demi memartabatkan pendidikan setempat.

Pemangku Pengarah JPWPL, Ismail Abdullah, ketika membentangkan lima tahun Perancangan Strategik JPWPL, berkata kejayaan bagi tempoh lima tahun itu menjadi penanda aras kepada kesungguhan warga pendidik.

Katanya, dalam melaksanakan tugas, guru mestilah sentiasa berpegang teguh dan mengamalkan prinsip yang termaktub dalam Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia yang tercatat dalam Buku Rekod Mengajar.

“Prinsip ini turut menggariskan Tanggungjawab Terhadap Pelajar, Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa, Tanggungjawab terhadap Masyarakat dan Negara serta Tanggungjawab kepada Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan.

“Tanggungjawab yang diamanahkan itu berpegang kepada visi jabatan iaitu Cemerlang Dalam Pengurusan Pendidikan menjelang 2015.
“Kesungguhan ini bagi mencapai misi menjana modal insan berkualiti berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rancangan berkenaan yang disempurnakan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Yunus Kurus yang mewakili Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal. Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Omar Baki Matusin.

Ismail berkata, tujuh strategi dan teras perancangan iaitu Mencemerlangkan Sahsiah Murid, Mencemerlangkan Sukan, Mencemerlangkan Kokurikulum, Mencemerlangkan Akademik, Mencemerlangkan Sekolah, Mencemerlangkan Pengurusan dan Pembangunan serta Mencemerlangkan Kepimpinan.

“Kita juga mewujudkan konsep 1Jabatan dan 1Sekolah Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai pemangkin mempercepatkan pencapaian matlamat perancangan,” katanya.

Pelajar Didahulukan pula kata beliau, bermaksud setiap mereka berhak memiliki disiplin dan sahsiah terpuji selain diberi peluang aktif dalam aktiviti kepemimpinan, akademik, kokurikulum dan sukan. Urusan kebajikan seperti biasiswa dan kemudahan bantuan lain diberi perhatikan.

Pencapaian diutamakan katanya, turut memberi perhatian kepada prestasi pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar.

“Prestasi itu merangkumi akademik, kokurikulum dan sukan, keberkesanan pentadbiran, kecekapan urusan kewangan dan pembangunan.

“Kami menyeru pemimpin masyarakat, ketua kampung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, agensi kerajaan dan media terus menyokong agenda pendidikan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Januari 2010

Tiada ulasan: