Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Hazwan Faisal Mohamad
2011/01/25
TINDAKAN pengusaha kantin sekolah yang menyediakan sajian tidak berkhasiat antaranya makanan ringan dan air berkarbonat menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama dalam kalangan ibu bapa.Sikap pengusaha itu ternyata menyalahi garis panduan penjualan makanan dan minuman di premis berkenaan seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Tinjauan ke beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Bangi, baru-baru ini mendapati makanan berkenaan dijual secara terbuka.
Ibu bapa yang ditemui menggesa supaya pihak pengurusan sekolah mengenakan tindakan tegas terhadap pengusaha yang ingkar.
Keengganan mengambil tindakan terhadap pengusaha turut menimbulkan persoalan kerana semua sekolah mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Kantin Sekolah dianggotai Guru Besar, Penolong Kanan, guru dan wakil ibu bapa.
Isu berkenaan kata mereka, sudah dimaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu, bagaimanapun pengusaha masih berdegil.
Masing-masing turut membincangkan isu berhubung perbezaan harga makanan dan minuman antara sekolah. Ibu bapa mendakwa, perbezaan berpunca daripada sistem tender terbuka diketuai Guru Besar yang mengetuai panel pemilihan.
Ketua panel akan memuktamadkan pengusaha kantin yang sesuai berdasarkan semak harga yang dikemukakan kepada pihak sekolah.
Seorang Guru Besar di Kepong, Kuala Lumpur yang enggan disiarkan namanya berkata, sekolah diberi kuasa memilih pengusaha kantin yang sesuai sebelum dibenar beroperasi.
Katanya, setiap pengusaha yang berminat perlu menyerahkan semak harga masing-masing untuk dinilai sebelum memutuskan calon yang layak menjalankan urus niaga.
“Pengusaha yang layak dipilih selepas pihak sekolah berpuas hati dengan tawaran harga yang munasabah dan perlu mematuhi garis panduan pengurusan.
“Panduan itu meliputi larangan menjual makanan ringan seperti gula-gula, jeruk dan snek mengandungi pewarna dan perisa tiruan tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas permasalahan itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Roslan Madun, mengakui ada pengusaha kantin menjual pada harga mahal, selain menjual makanan tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat.
Katanya, tindakan pengusaha itu bercanggah dengan garis panduan dan boleh dikenakan tindakan dengan diganti pengusaha lain.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Kantin sepatutnya mengambil tindakan terhadap pengusaha ingkar untuk memastikan pelajar menikmati makanan berkhasiat dan pada harga berpatutan.
“Penilaian meliputi harga, kualiti, kuantiti dan tahap kebersihan. Sekiranya pengusaha melanggar peraturan ini operasi mereka boleh ditamatkan,” katanya.
Berita Harian Online: 25 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan