KOTA KINABALU, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri Sabah sedang mengenal pasti 10 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah yang berpotensi untuk digilap dan seterusnya diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini.
Pengarahnya Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata langkah itu perlu memandangkan semasa pelaksanaan fasa pertama SBT tahun lepas, tidak ada sekolah di Sabah yang terpilih.
"Jabatan Pelajaran Sabah akan bekerjasama untuk memacu mana-mana sekolah menengah atau sekolah rendah tertentu yang menghampiri status ini supaya sekolah berkenaan akan mencapai status SBT. Inilah harapan kita untuk Sabah tahun ini," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.
Beliau yang ditemui selepas menyampaikan perutusan tahunan kepada warga Jabatan Pelajaran negeri juga berkata sekolah berkenaan akan dipilih berdasarkan zon.
Usaha itu juga katanya, selaras dengan wawasan Kementerian Pelajaran untuk membangunkan 100 SBT di seluruh negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhiddin menggariskan lapan fokus utama Sasaran Kerja Tahunan Jabatan Pelajaran Sabah pada tahun ini.
Ini termasuk peningkatan prestasi peperiksaan umum iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, pematuhan prosedur dan pengurusan kewangan di semua peringkat, pembangunan infrastruktur dan kemudahan sekolah, pengurangan kadar ponteng pada kalangan murid sekolah, dan pemantapan kepimpinan pengurusan sekolah, katanya.
BERNAMA: 10 Januari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan