Rabu, 19 Januari 2011

Mazlan dirai kakitangan IPGTAA


MAZLAN MOHAMAD (bersongkok) dan Rogayah A. Hamid (depan, dua dari kanan) bersama ahli panel dan pegawai DBP selepas Program Wacana Ilmu Bicara Karya Sastera di IPGTAA Lipis, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 18 Jan. - Pensyarah, kakitangan dan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA), Lipis mengadakan majlis perpisahan baru-baru ini bagi meraikan pertukaran Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad sebagai Pengarah Pelajaran Pahang.

Turut hadir pada majlis perpisahan berkenaan ialah Timbalan Pengarah IPGTAA Lipis, Roselan Ahmad dan ketua-ketua jabatan pengajian di institut berkenaan.

Mazlan yang mula berkhidmat di IPGTAA Lipis pada 1 Julai 2008 telah berjaya melaksanakan beberapa perubahan menerusi pelan perancangan lima tahun untuk menobatkan kecemerlangan institusi berkenaan yang unggul di kalangan 27 buah Institut Perguruan Guru (IPG) di Malaysia.

Semasa pentadbirannya, beliau mengangkat IPGTAA Lipis sebagai Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi, Bahasa Melayu dan Kokurikulum yang merintis kepada memartabatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di kalangan pelajar Orang Asli di sekolah rendah dan sekolah menengah di negeri ini.

Bagi pengisian strategi kecemerlangan itu, Mazlan juga mencetuskan idea untuk merealisasikan penubuhan Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PGLDP) di Seri Tualang, Temerloh yang mula beroperasi pada 2010.

Peranan PGLDP yang fokus pada kursus dan bengkel kemahiran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris termasuk kokurikulum di kalangan guru di negeri ini membabitkan panel kepakaran dan pengalaman pensyarah IPGTAA Lipis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pahang.

Semasa berucap pada majlis berkenaan, Mazlan berkata, perancangan pembangunan akademik lima tahun yang beliau gariskan iaitu bermula dari 2010 hingga 2015 adalah sebagai usaha menjadikan institut itu cemerlang dalam semua aspek.

''Setiap individu di sini perlulah mencari kekuatan dan menghargai antara satu sama lain di samping berkongsi kepakaran dalam mewujudkan kerja berpasukan yang terbaik.

''Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi, Bahasa Melayu dan Kokurikulum yang telah dilaksanakan tahun lalu dapat diteruskan kerana ia merupakan agenda pendidikan negara menerusi Kementerian Pelajaran manakala institut ini sebagai tenaga penggerak penting," jelas beliau.

Mazlan, 57, merupakan anak kelahiran Kampung Dong, Raub mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana memberi kepercayaan beliau menerajui Jabatan Pelajaran Pahang dan akan melaksanakan tugas dengan penuh integriti untuk meningkatkan akademik, kokurikulum dan bina insan pelajar di negeri ini.

Beliau berkata, JPP juga akan membina kerjasama yang kukuh dengan institut itu bagi menyokong dasar pelajaran khususnya kajian dan penyelidikan untuk meningkatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Mazlan yang berpengalaman luas dalam bidang latihan perguruan selama 25 tahun sebelum dilantik sebagai pengarah pernah menyandang beberapa jawatan seperti penolong pengarah, timbalan pengarah dan ketua penolong pengarah di Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia.

Beliau adalah lulusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni visual dan pendidikan.

Sementara itu, Roselan berkata, bekas pengarahnya itu merupakan seorang tokoh yang mempunyai visi dengan perkembangan institut tersebut sekali gus berjaya memberikan sumbangan kepakaran cukup bermakna.

Utusan Malaysia Online: 19 Januari 2010

Tiada ulasan: