Rabu, 5 Januari 2011

'Sekolah Plaster' tampung ramai pelajar bermasalah

SEKALUNG tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010 kerana kejayaan mengukir sejarah keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun.

Ratusan Sekolah Rancangan Khas dan Sekolah Kluster merekodkan kejayaan masing-masing dengan pencapaian terbaik 9A dan 8A. Di sebalik segala uapan tahniah dan syabas, tekanan turut dirasai oleh sekolah-sekolah yang terkenal sebagai 'Sekolah Plaster'.

'Sekolah Plaster' merupakan istilah baru yang diberikan oleh golongan setempat terhadap sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar bermasalah. Pelajar-pelajar bermasalah ini merangkumi pelajar yang mengalami masalah pembelajaran, pelajar yang dibuang sekolah dan pelajar yang tidak mematuhi arahan sekolah.

Persoalan utama kini ialah bagaimanakah boleh wujud keadaan sedemikian? Mungkin ramai di luar yang tidak menyedari hakikat ini. Punca utama kewujudan 'Sekolah Plaster' ini ialah ekoran pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang bersikap pilih kasih terhadap sekolah-sekolah dalam daerahnya.

Dalam usaha mengekalkan prestasi sekolah-sekolah tertentu, pihak terbabit mengelompokkan pelajar-pelajar yang bermasalah di satu sekolah yang sama. Akibatnya, sekolah yang menjadi sasaran ini menghadapi pelbagai masalah. Di Muar sendiri ada sebuah 'Sekolah Plaster' yang terkenal. Ia wujud ekoran sikap PPD Muar mengelompokkan pelajar bermasalah di sekolah terbabit.

Masalah ini pernah diadukan tetapi pengaruh Sekolah Kluster lebih kuat berbanding 'Sekolah Plaster', mengakibatkan usaha ini bagai mencurah air ke daun keladi. Apakah kriteria yang diambil kira? Jika keputusan, adakah ini bermakna istitusi pendidikan melabel dan mengasingkan pelajar mengikut pencapaian dan apakah peranan sekolah khas diwujudkan?

Jika kelakuan, wajarkah pelajar yang bermasalah dikelompokkan bagi merumitkan lagi keadaan? Jika jarak dari rumah, bukankah terdapat banyak lagi sekolah yang berhampiran jika dibandingkan daripada sekolah sasaran?

Dalam usaha mengambil jalan mudah dan melonjakkan kegemilangan institusi pendidikan terpilih, janganlah mewujudkan 'Sekolah Plaster' kerana tindakan ini menyulitkan pelbagai pihak. Keputusan cemerlang yang disogokkan oleh sesetengah sekolah telah mengaburi mata PPD untuk bertindak kurang wajar. Pemantauan oleh pegawai yang terbabit semuanya sia-sia jika kewujudan 'Sekolah Plaster' ini tidak dapat ditangani segera.

GURU LAMA

Muar, Johor

Utusan Malaysia Online: 5 Januari 2011

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Inilah akibatnya bila kita hanya mengutamakan keputusan peperiksaan semata-mata spt UPSR.....lepas tu ada pulak imbuhan bagi sekolah yg berprestasi tinggi.
Sekolah skrg ni ada ada KASTA.
Kluster,, SBT......

GuruBatuPahat berkata...

JPNJ salur RM1.7j untuk selenggara sekolah di DUN Tenang.. awalnya kempen ye... err, DUN lain xde ke peruntukan khas tu? semua cakap x serupa bikn, mana mutu pendidikan x makin melingkup..

Hairan juga kenapa sek di DUN Tenang ada gambar MB, sedangkan di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang x dibenarkan? jika orang atasan KPM juga suka pilih kasih dan prejudis, kami tak hairan dengan mutu pentadbiran pendidikan di negara ini.

Tanpa Nama berkata...

inilah transformasi pendidikan. Inilah manusia, bila ada kuasa ... Tak per lah tunggu di alam barzah dan mahsyar nanti.

Tanpa Nama berkata...

Berilah peluang terakhir kpd mereka sebelum mereka mengucapkan sayonara dlm PRU 13..