AMPANG: Niat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik di sini, menghadiri kelas bahasa Inggeris terbantut apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya cedera ditimpa meja yang dipercayai dibaling dari tingkat empat bangunan sekolahnya.
Ketika kejadian Rabu lalu, Asyraf Sabiq Samad, 14, dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 1.15 tengah hari selepas berhimpun di padang bola tampar sebelum memulakan sesi persekolahan dan menunggu pelajar sesi pagi menamatkan pembelajaran.
“Ketika mendongakkan kepala, 'sesuatu' bersaiz besar menimpa kepala saya dan saya tak sempat mengelak,” katanya.
Sejurus kejadian katanya, kepala, muka dan kedua-dua belah tangannya dipenuhi darah sebelum dibawa ke bilik guru disiplin sekolah untuk dibersihkan dan kemudian dihantar ke Hospital Ampang.
Asyraf menerima empat jahitan di dahi, manakala hidungnya turut tercedera.
Ibunya, Mariam Kamarudin, 42, terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa anak sulungnya itu dan bergegas ke hospital.
“Kaki saya seperti tidak mencecah bumi apabila menerima berita itu dan sejurus tiba di hospital, saya lihat kepala Asyraf sudah berbalut sambil ditemani tiga guru.
“Apabila saya meminta penjelasan daripada pengetua, dia menyatakan pihak sekolah sudah menyiasat dan mengetahui pelajar yang melakukannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.
Mariam berkata, pengetua berkenaan memberitahu perbuatan itu dilakukan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikatakan mengganas selepas gagal mendapatkan bekalan ubatnya.
Lebih menghairankan, katanya pelajar berkenaan turut ditempatkan dalam kelas normal kononnya kerana dia pintar seperti pelajar lain sedangkan pelajar OKU sepatutnya ditempatkan dalam kelas khas.
“Mulanya saya rasa lega apabila mengetahui maklumat berkenaan, malah pelajar terbabit sudah dibawa pulang ke rumahnya selepas kejadian.
“Tetapi, pihak sekolah menelefon suami (Samad Masaan, 58,) mengatakan kejadian itu mungkin dilakukan pelajar sesi pagi dan tidak membabitkan pelajar OKU berkenaan. Saya hairan apabila dimaklumkan pelajar OKU terbabit sudah digantung sekolah.
“Dari situ, ia mula menimbulkan keraguan di pihak kami. Jika benar bukan pelajar terbabit (OKU) melakukannya, kenapa dia dikenakan tindakan? Ini menunjukkan pihak sekolah seolah-olah bermain tarik tali dengan kami,” katanya.
Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Pandan Indah, di sini, semalam.
Mariam berkata, mereka sekeluarga langsung tidak berniat meminta pampasan daripada mana-mana pihak dan jika benar pelajar OKU itu melakukannya, pihak sekolah dan keluarganya perlu menghubungi mereka sekali gus meminta maaf.
Menurutnya, dia juga memahami keadaan kanak-kanak istimewa dan tidak seharusnya mereka dipersalahkan kerana mereka sentiasa perlukan perhatian.
Katanya, dia akan menghantar surat meminta penjelasan lanjut kepada pihak sekolah hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Sementara itu, pengetua sekolah, Zaini Mohammad Zain mengesahkan kejadian itu dan proses penyiasatan sedang berjalan.
Mengulas mengenai pembabitan pelajar OKU, beliau menafikannya biarpun pada mulanya dia sendiri memaklumkannya kepada ibu bapa Asyraf.
Katanya, sejurus kejadian menimpa Asyraf, pelajar OKU itu turut menimbulkan kekecohan akibat tidak menerima bekalan ubat dan pelajar terbabit juga mengikuti pelajaran pada sesi petang.
myMetro: 24 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan