Selasa, 11 Januari 2011

JPN perlu rancang penempatan guru

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/01/11

Perpindahan mendadak beri tekanan, jejas pembelajaran

JABATAN Pelajaran Negeri (JPN) wajar melakukan perancangan teliti berkaitan penempatan guru supaya tidak menimbulkan beban tambahan kepada pendidik dengan pertukaran pada saat akhir.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat perpindahan pada Januari bukan saja memberi tekanan mental kepada guru tetapi menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pertukaran secara mendadak turut menjejaskan kesan lebih serius terutama kepada pelajar.

Pertukaran dalam jumlah yang agak besar secara serentak juga kata beliau, menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam proses penempatan guru di peringkat negeri.

“Memang tidak wajar memindahkan guru ke sekolah lain pada bulan ini kerana sesi persekolahan sudah pun bermula. Keadaan ini memang merumitkan dan membebankan guru.

“Urusan pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal iaitu sekitar Disember bagi memudahkan proses urusan semua pihak.” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan yang diterima 10 hingga 15 guru di sebuah sekolah menengah di Subang.

Masing-masing katanya, mendakwa menerima panggilan daripada pegawai di JPN Selangor supaya bersedia ditukarkan ke luar daerah pada bila-bila masa.

Yim Pheng berkata, NUTP juga tertanya-tanya mengenai tindakan JPN Selangor menukarkan guru dalam jumlah sehingga 15 orang pada satu masa.

Senario itu kata beliau, menggambarkan berlaku lebihan guru di sekolah berkenaan. Lazimnya kadar lebihan guru setiap sekolah hanya sekitar seorang atau dua saja.

“Kalau sampai 10 hingga 15 guru terima panggilan untuk ditukarkan, NUTP pun hendak tahu daripada JPN, mengapa jadi begitu?” katanya.

Beliau berkata, NUTP akan mengadakan mesyuarat khas di ibu negara bersama 12 kesatuan gabungannya untuk membincangkan isu pertukaran guru.

Katanya, pendirian NUTP sekarang ialah guru patut menerima pertukaran dalam lingkungan 40 kilometer dari kediaman.

Berita Harian Online: 11 Januari 2011

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pegawai di JPN Selangor lembab. Selangor negeri paling lewat buat redemployment. Sbb tu kecoh di Selangor. Akibatnya, pegawai di PPD kena maki hamun dgn guru-guru.

Saya cadangkan pegawai -pegawai berkenaan di JPn Sngor diredemployment ke JPN N.Sembilan @Perak. Kita cuba tengok reaksi mereka. melenting ka... tak?

"Pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar"

Tanpa Nama berkata...

NI...lah.... Akibat kelemahan JPN Selangor dlm menempatkan guru. Yang jadi mangsa bukan shj guru, tetapi juga murid.
Saya setuju. Pegawai di unit berkenaan diredemployment ke negeri bersempadan dgn Selangor. Baru tau....

Tanpa Nama berkata...

jangan salahkan JPN, kita perlu sedar sebagai guru kita wajib mentaati perintah dari pihak atasan, termasuk org atasan dlm parti. Guru harus berkorban walau dihantar ke mana, pergi sahaja kerana ikhlas.

En. Rasul Mat Hassan, R4

Tanpa Nama berkata...

En. Rasul..saya hormati prinsip kebebasan bersuara. But i advice u to keep quiet..u bukan guru....dah tu bercakap ibarat tin kosong dan asyik nak libatkan isu parti saja!!!

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong. Kpd Encik Rasul....Jgn babitkan parti dlm tulisan encik. Encik Tak faham masalah di sekolah. Encik tau ka apa"redemployment"?

Tanpa Nama berkata...

Betul tu..en. Rasul kena betul2 tahu dan faham situasi guru hari ini kalau nak beri pendapat yg membina.Jangan sandarkan pendapat pada parti krn dunia pendidikan x boleh dilacurkan dengan politik murahan macam ni kalau nak lihat anak bangsa kita maju..