|
|
DALAM perkembangan dunia yang serba canggih dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu meluas masa kini, dunia dilihat amat bergantung kepada penggunaannya dan pengaplikasiannya dalam segala bidang.
Guru turut tidak terkecuali dalam mengaplikasikan teknologi serba moden ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka kerana keberkesanannya selain memudahkan.
Justeru, Intel Electronics (M) Sdn. Bhd. turut mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Intel Teach Program (ITP) bagi melatih dan meningkatkan penguasaan golongan pendidik dalam bidang ICT untuk digunakan semasa proses P&P dalam bilik darjah.
Pengurus Program Pendidikan K12, Unit Perhubungan Korporat syarikat itu, Hasnan Hakim berkata, ITP yang dilancarkan pada tahun 2000 telah berjaya melatih ramai guru dan bakal-bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG), English Language Training Centre (ELTC) dan beberapa sekolah terpilih.
“Program ini merupakan medium yang mampu membantu dalam mentransformasikan landskap pendidikan negara kerana pendekatan yang digunakan amat relevan dengan perkembangan semasa serta memberi pengalaman berharga kepada para pendidik,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa perbincangan mengenai program itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perbincangan itu turut disertai oleh Guru Kolej Tun Datu Tuanku Hj. Bujang, Miri, Sarawak, Liew Tho Lip; Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, Ooi Say Tin; Pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam, Busho Ali; Pensyarah English Language Teaching Centre (ELTC) Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Jayanti Sothinathan dan Pensyarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Chua Lay Siok.
Menurut Hasnan, pendidik masa kini berhadapan dengan cabaran yang unik di mana para pelajar kebanyakannya terdiri daripada Generasi Net yang berkait rapat dengan penggunaan teknologi laman web (www), pesanan ringkas, pesanan teks, pemain MP3, telefon bimbit dan YouTube.
“Dalam usaha untuk mencapai dan bersatu dengan pelajar, adalah penting bagi para pendidik masa kini untuk menyesuaikan diri dengan teknologi intergratif dalam proses P&P,” ujarnya.
Melalui ITP, Intel memainkan peranan penting untuk memperlengkapkan guru-guru dengan peralatan bagi mengintegrasikan teknologi dalam bilik darjah.
Sementara itu, Liew Tho Lip berkata, program ini sangat berguna kerana memberi pengetahuan baru tentang bagaimana untuk mengintegrasikan ICT ke dalam bilik darjah.
“Program ini bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran ICT bahkan membantu memperkembangkan sahsiah pelajar,” katanya.
Busho Ali pula memberitahu, program itu tidak lari daripada kurikulum yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran malah ia dilihat sangat bersesuaian.
“Pembelajaran berasaskan projek yang diperkenalkan melalui prgram ini menjurus kepada penekanan terhadap pembelajaran abad ke-21.
“Integrasi dan menggabungkan semua kemahiran yang diperlukan oleh generasi masa kini dan ia merungkai tentang bagaimana caranya untuk mencari maklumat serta menyelesaikan masalah dalam sesebuah tugasan yang diberikan,” jelasnya.
Bagi Ooi Say Tin, ITP merupakan satu pendekatan pembelajaran yang menekankan kepada pembelajaran melalui pengalaman dan penerokaan.
“Selain aspek itu, para pelajar juga dapat mempelajari tentang pengurusan masa dan proses pembelajaran sendiri yang amat penting dalam membantu pelajar belajar secara kendiri,” katanya.
Tambah Hasnan, program itu akan diteruskan selagi ia mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran dan berharap agar lebih ramai guru melibatkan diri untuk menyertai program tersebut.
“Intel juga berminat untuk memperkenalkan sebuah lagi program baru yang dinamakan Project Based Approaches Course dalam usaha untuk memantapkan lagi program sedia ada dalam bentuk baru,” tambahnya.Utusan Malaysia Online:3 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan