Isnin, 24 Januari 2011

YGMB prihatin kebajikan guru


MUKA depan laman sesawang rasmi YGMB untuk para guru seluruh negara mendaftar keahlian dan seterusnya menikmati faedah yang ditawarkan oleh pertubuhan itu.


Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyediakan kemudahan mendaftar keahlian secara atas talian bagi memudahkan urusan ahli-ahli barunya.

Laman www.ygmb.com.my itu turut menyediakan maklumat lengkap mengenai YGMB, Koperasi YGMB dan faedah-faedah serta kemudahan yang disediakan kepada ahlinya.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, dengan adanya laman sesawang itu diharapkan agar lebih ramai lagi guru akan mendaftar seterusnya menikmati faedah serta sumbangan yang disediakan oleh YGMB.

"Sehingga kini hanya terdapat 129,124 keahlian daripada jumlah keseluruhan kira-kira 400,000 guru di seluruh negara di mana 77,132 merupakan ahli seumur hidup dan 51,992 ahli biasa.

"Dengan sasaran sebanyak 100,000 ahli baru menjelang pertengahan tahun ini, YGMB berhasrat untuk berkembang agar mampu setanding dengan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, dengan sumbangan dana sebanyak RM10 juta oleh kerajaan, YGMB yakin untuk memberikan perkhidmatan kebajikan serta faedah-faedah terbaik kepada ahli-ahlinya.

"Antara sumbangan kebajikan melalui produk baru ialah meningkatkan jumlah sumbangan khairat kematian, melanjutkan pelajaran, perubatan, kemalangan, malapetaka, perkahwinan, persaraan dan melahirkan anak," jelas beliau.

Menurutnya lagi, YGMB turut merancang untuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kepada ahli-ahlinya.

"YGMB juga berhasrat untuk menubuhkan kolej universiti dan pusat tuisyen, membina projek perumahan untuk ahli dan membeli bangunan serta tanah pertanian," ujarnya.

Selain guru, keahlian YGMB turut dibuka kepada semua pegawai perkhidmatan pelajaran, kakitangan Kementerian Pelajaran (KPM), pesara guru dan ahli bersekutu (kakitangan YGMB).

Alimuddin memberitahu, faedah serta sumbangan ini mampu dinikmati oleh setiap ahlinya dengan hanya membayar yuran bulanan keahlian YGMB sebanyak RM10.

Yuran bagi keanggotaan Koperasi YGMB pula adalah RM35 setiap bulan. Namun, yuran bulanan Koperasi YGMB ini akan dipulangkan semula apabila anggotanya bersara kelak.

Tambahnya lagi, sumbangan yang bakal dinikmati oleh ahli YGMB dan koperasi YGMB adalah berbeza. Oleh sebab itu, jika ahli YGMB turut mendaftar sebagai anggota Koperasi YGMB, mereka akan mendapat faedah bagi kedua-dua badan tersebut.

"Sumbangan yang disediakan oleh YGMB kesemuanya berjumlah RM7,300. Manakala Faedah yang bakal dinikmati oleh anggota Koperasi YGMB pula adalah pinjaman hartanah, pinjaman khas, pinjaman pelajaran, pinjaman biasa, pinjaman umrah dan pelancongan.

"Koperasi YGMB juga menyediakan sumbangan kebajikan kepada anggotanya seperti khairat kematian, dermasiswa, bantuan kemalangan dan bantuan bencana alam yang kesemuanya bernilai RM5,100," jelasnya.

Dengan fungsi utamanya sebagai penyedia kredit, Koperasi YGMB juga bersedia melunaskan pinjaman bank ahli-ahlinya. Mereka perlu membayar semula pinjaman tersebut kepada koperasi yang menawarkan faedah jauh lebih murah.

Selain itu, Koperasi YGMB juga menawarkan pinjaman kecemasan dengan jumlah maksimum RM2,000 dalam tempoh 24 jam kepada ahli-ahlinya.

YGMB juga berhasrat untuk mewujudkan bank guru yang akan memberi pelbagai faedah menarik kepada semua guru di seluruh negara.

"Oleh itu, warga pendidik diharap dapat merebut peluang untuk menjadi ahli YGMB dan anggota koperasi untuk menikmati faedah dan sumbangan tersebut," katanya.

Maklumat lanjut mengenai YGMB dan Koperasi YGMB boleh diperoleh dengan menghubungi 03-41058679/ 03-41052845.

Utusan Malaysia Online: 24 Januari 2011

Tiada ulasan: