Ahad, 16 Januari 2011

PIBG bukan persatuan ibu bapa bantai guru

2011/01/16

SUDAH dua minggu berlalu sejak anak kita memulakan sesi persekolahan 2011. Bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, tanggal 2 atau 3 Januari lalu pastinya hari bersejarah buat mereka. Pelbagai harapan, impian bercampur rasa bangga menunaikan amanat memberikan pendidikan kepada pewaris keluarga.

Penulis sendiri tergolong dalam kumpulan itu, melalui pengalaman membawa anak sulung memasuki Tahun Satu. Melangkah masuk ke kawasan sekolah, terasa cepatnya masa berlalu. Masih terkenang pengalaman sendiri di sekolah rendah, kini tiba pula giliran anak.

Ia juga giliran menimba ilmu formal buat 457,760 kanak-kanak berusia tujuh tahun. Bagi Tingkatan Satu pula, seramai 474,803 pelajar memulakan pengajian menengah mereka. Bagi penulis, dapat berkumpul bersama ibu bapa atau penjaga lain memberi persepsi baru. Riak wajah masing-masing ada rasa risau dan bimbang, tetapi itu sudah lumrah.
Hari pertama penulis membawa anak ke sekolah, perhatian tertarik kepada ucapan aluan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menekankan betapa pentingnya kerjasama dan sokongan ibu bapa dalam menjayakan agenda pendidikan negara.

Apa tidaknya, ada ibu bapa yang tidak begitu mengambil berat peranan PIBG. Ada juga yang menggunakan saluran itu untuk menghentam warga pendidik, bak kata pengetua berkenaan yang secara berseloroh memutar terjemahan akronim PIBG itu sebagai Persatuan Ibu Bapa Bantai Guru.

Hujahnya lagi, jika ada masalah atau rasa tak puas hati, gunakan pendekatan bijak, bermuafakat cari penyelesaian, bukan memekik di luar pagar sekolah memberitahu dunia masalah rumah tangga. Persoalannya, mengapa ia berlaku? Di mana silapnya, adakah kerana sistem persekolahan atau kurangnya komunikasi ibu bapa dengan pengurusan sekolah.

Penulis merujuk kes bagaimana sebuah sekolah di ibu negara dihentam teruk penduduk hinggakan menggunakan saluran media untuk menyalurkan rasa tidak puas hati mereka. Semuanya gara-gara tindakan sekolah rendah A menutup pintu jalan pintas bersempadan sekolah menengah dan kebetulan juga, ia jalan pintas penghuni perumahan di situ ke sekolah.
Meneliti reaksi kedua-dua pihak, penulis menyokong tindakan PIBG dan sekolah menutup laluan itu. Alasannya logik, atas faktor keselamatan. Siapa akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas murid sekolah rendah.

Sesiapa saja boleh masuk ke kawasan sekolah rendah itu tanpa kawalan kerana laluan itu menjadi laluan umum. Banyak kes pelajar sekolah menengah ponteng dan masuk ke sekolah rendah pada sebelah petang. Pernah juga berlaku kes peras ugut murid sekolah rendah dan kecurian.

Oleh kerana sekolah rendah tidak mempunyai sesi petang, ia turut dijadikan sasaran pasangan memadu asmara. Siapa yang akan dipersalahkan jika semua itu berlaku. Soal terpaksa berjalan agak jauh untuk masuk ke sekolah itu boleh diselesaikan.

Itu cuma sebahagian daripada senario menunjukkan bagaimana ada ibu bapa yang sanggup mengetepikan kepentingan keseluruhan sekolah semata-mata menjaga kepentingan sendiri. Bak kata Pengerusi PIBG tadi, ramai sangat orang yang guna kabel besar, bukan untuk bantu sekolah, tetapi sebaliknya.

Penulis juga sempat berbual dengan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan dan beliau ada pandangan sama. Katanya, PIBG ditubuhkan dengan hasrat menjurus kepada kerjasama dua hala bersama satu matlamat meningkatkan martabat dan mutu pendidikan.

Katanya lagi, apa juga masalah yang tercetus boleh diselesaikan melalui perbincangan, bukan setakat soal keselamatan, tetapi hal lain yang membabitkan ibu bapa, misalnya soal yuran tambahan yang berbeza mengikut sekolah.

Setiap kali sesi baru, mesti ada perkara berbangkit. Pertama, bayaran permulaan... ibu bapa kadang kala terkejut, marah, barangkali kurang bersedia. Kumpulan yang tidak bersedia biasanya akan terkejut terutama hal berkaitan sumbangan kepada yuran tambahan.

Mereka boleh terima bayaran yang tidak dinaikkan langsung iaitu bayaran yang disenaraikan RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah. Mereka boleh terima dan ia munasabah sebab ibu bapa ini sudah dimaklumkan awal, katanya.

Masalah yuran tidak selaras timbul kerana ibu bapa berasa tidak dibawa berunding dalam soal sumbangan kepada PIBG dan bayaran lain. Dalam soal ini, PIBGN berpendirian menyokong sikap prihatin Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang minta sekolah jangan bebankan keluarga dan ambil kira segala aspek.

Alasannya mudah, ada mekanisme ditetapkan iaitu PIBG mesti bincang dengan sekolah untuk tetapkan bayaran munasabah, tidak membebankan ibu bapa. Faktor itu perlu diambil kira sebab ini permulaan sekolah, ibu bapa sudah banyak habiskan duit untuk persiapan, belum lagi dicampur desas-desus tambang bas sekolah juga mahu dinaikkan.

Sepatutnya semua itu diputuskan dalam mesyuarat agung PIBG dan dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diperakui dan menetapkan kelulusan munasabah tanpa paksaan. Masalahnya berapa ramai ibu bapa yang hadir mesyuarat PIBG?

Sepatutnya mereka menyertai sesi perbincangan kerana ia membabitkan kebajikan anak sendiri. Jangan bising selepas keputusan dibuat. PIBG pula mesti aktif. Jika berbincang dan bekerjasama, sudah tentu hal kecil termasuk soal kelengkapan kerusi meja, persiapan sekolah boleh diselesaikan awal, paling kurang boleh gotong royong.

Pihak sekolah pula mesti menyerahkan butiran terperinci bayaran yang akan dikenakan sebelum sesi bermula - sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal. Jangan biarkan ibu bapa tertanya-tanya berapa sumbangan untuk PIBG atau bayaran lain.

Bagi yang bersedia atau mempunyai tabung simpanan pendidikan sendiri, mereka tidak bermasalah. Bagaimana dengan ibu bapa kurang mampu yang sudah tentu berasa membebankan, tambahan pula jika mempunyai ramai anak bersekolah.

Namun, Mohamad Ali berpesan, jangan terlalu berkira sangat dalam soal bayaran sekolah anak kerana kalau boleh membelikan anak mereka telefon bimbit berharga paling murah RM150, kenapa terlalu banyak berkira untuk membayar yuran PIBG yang cuma RM20 setahun.

Berita Harian Online: 16 Januari 2011

2 ulasan:

KPLI2005 berkata...

Bagus artikel ini..Ibubapa seharusnya menyokong dan membantu guru dengan memainkan peranan yg betul. Pengalaman saya melatih anak-anak murid yg berjaya hingga ke peringkat kbgsaan adalah turut dipengaruhi oleh peranan ibubapa dari segi metarial, motivasi, masa dan tenaga, bukan shj kpd anaknya tetapi kpd guru juga...

Tanpa Nama berkata...

bagus