Isnin, 24 Januari 2011

Penempatan: Guru Gred 17 kesal cara pegawai JPNS

AYA merupakan salah seorang calon yang berjaya ditempatkan ke dalam perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan telah diarahkan lapor diri ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Isnin lalu.

Apa yang mengecewakan saya ialah sikap pegawai yang mengendalikan kami di JPNS. Sikap yang ditonjolkan kepada kami tidak mencerminkan sikap seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya.

Mereka seolah-olah memandang rendah terhadap kami yang terdiri daripada gred 17 (N17, W17) melalui cara percakapan dan ayat yang disampaikan kepada kami.

Sudahlah kami diarahkan duduk di koridor sepanjang hari pertama lapor diri di JPNS. Pada minit terakhir sebelum waktu pejabat tamat pada pukul 5, barulah kami diberitahu oleh salah seorang pembantu tadbir di situ, bahawa segala keputusan penetapan jawatan kami akan diberitahu 'mungkin' keesokannya. Dia mengarahkan kami pulang seperti tidak mengalu-alukan kedatangan kami.

Keesokannya, kami hanya diberitahu tentang penempatan kami menjelang waktu rehat tengah hari dan apa yang mengecewakan kami, daripada 25 orang yang telah disenaraikan nama untuk melaporkan diri ke JPNS, hanya 12 orang yang diberi tempat di sekitar Negeri Sembilan. Lebih separuh telah ditolak ke negeri-negeri lain dan perlu membuat rayuan penempatan semula (sekiranya tidak bersetuju) ke Putrajaya, dengan alasan Negeri Sembilan sudah penuh dan tiada lagi tempat kosong.

Apa yang amat mengecewakan saya, makluman dari Putrajaya yang saya dapati, sebenarnya terdapat 30 kekosongan di Negeri Sembilan dan segala penempatan di negeri adalah atas urusan pihak JPNS. Jadi sekiranya terdapat 30 kekosongan, mengapa 13 orang dari 25 kami seolah-olah telah 'ditendang' keluar akibat ketidakadilan yang mungkin berlaku di JPNS tanpa pengetahuan kami. Sekiranya kami ditempatkan di luar Negeri Sembilan, mengapa pihak SPP Putrajaya sendiri tidak menyenaraikan nama kami ke luar Negeri Sembilan awal-awal lagi?

ANAK NOGORI,

Seremban, Negeri Sembilan

Utusan Malaysia Online: 24 Januari 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mmmmm manusia, jgn gunakan kedudukan utk menindas org lain sbb itu hanya pinjaman..bkn anda saja yg merasai begitu, ramai lg sebelum ini termasuk saya dan rakan-rakan...