JOHOR BAHRU 2 Ogos - Sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan pada Seminar Jiwa Pendidik 2011 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di sini, baru-baru ini.
Seminar selama tiga hari bertemakan Penyelidikan Melestarikan Guru Bestari itu anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTI bersama Institut Pendidikan Guru (IPG) Zon Selatan.
Selain IPGKTI, beberapa peserta daripada IPG lain turut mengambil bahagian, antaranya IPG Kampus Tun Hussein Onn, IPG Perempuan Melayu Melaka dan IPG Raja Melewar, Negeri Sembilan.
Ia turut disertai peserta dari Kolej Matrikulasi Teknikal Johor; Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur; Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Putrajaya; SK Jeram, Masjid Merah, Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian.
Antara tajuk kertas kerja yang dibentangkan adalah Kepentingan Ilmu Bersepadu Dalam Membina Akhlak Pelajar, Sikap Murid Sekolah Rendah Terhadap Sains Di Beberapa Buah Negeri di Malaysia dan Pendekatan Akhlak Islamiah Dalam Pengajaran Pendidikan Islam di Malaysia.
Perasmian seminar yang julung kali diadakan itu disempurnakan Rektor IPG Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan.
Haili dalam ucapannya berkata, pertemuan para intelek dalam seminar seumpama itu mampu mencetuskan perkembangan baru dalam bidang pendidikan seterusnya membantu Kementerian Pelajaran mencapai wawasan Pendidikan Bertaraf Dunia.Utusan Malaysia Online: 3 Ogos 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan